58 mangsa banjir di Baling dipindahkan ke PPS

Sebanyak 58 mangsa banjir dipindahkan ke PPS Kampung Padang Empang, Kupang, Baling bermula malam tadi.
Sebanyak 58 mangsa banjir dipindahkan ke PPS Kampung Padang Empang, Kupang, Baling bermula malam tadi.
A
A
A

BALING - Sebanyak 58 mangsa daripada 19 keluarga dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Kampung Padang Empang, Kupang selepas rumah mereka dinaiki air pada Khamis.

Timbalan Pegawai Pertahanan Awam Daerah Baling, Leftenan (PA) Dzulhaidy Mohd Khalil, berkata, mangsa dipindahkan bermula jam 9 malam secara berperingkat setelah air naik mendadak akibat hujan lebat sejak petang Khamis.

Menurutnya, paras air Sungai Kupang meningkat dan menyebabkan limpahan berlaku di beberapa rumah penduduk terutama yang terletak di tebing sungai.

"Hujan lebat kira-kira jam 2 petang selama tiga jam menyebabkan air sungai melimpah ke penempatan penduduk sehingga berlaku banjir kilat," katanya.

Menurutnya, seramai 22 anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia terlibat dalam operasi menyelamat dan pemantauan dilakukan dari semasa ke semasa.

"Peranan agensi yang terlibat perlu menasihati semua penduduk yang berhampiran laluan sungai dan kawasan rendah, harus meninggalkan rumah mereka untuk keselamatan nyawa dan harta benda.

"Sehingga kini, air sungai telah melepasi jambatan Bailey dan arahan ditutup telah dikeluarkan oleh polis kepada orang ramai sehingga keadaan pulih dan disahkan selamat untuk digunakan," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!