Pinda perlembagaan: UMNO harap dapat jawapan RoS hari ini
SEREMBAN- UMNO berharap Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) dapat memberikan keputusan berhubung permohonan UMNO untuk meminda perlembagaannya sekurang-kurangnya hari ini (Jumaat).
Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, parti itu telah menulis surat kepada RoS memohon jasa baik supaya keputusan berkenaan dapat diketahui sebelum 31 Julai ini.
" Ia supaya UMNO dapat melakukan persiapan sekiranya permohonan itu tidak diluluskan. Kita minta jasa baik RoS untuk berikan keputusan 'ya' atau tidak sehingga 31 Julai.
"Kami perlukan jawapan, jadi kami tunggu tetapi 31 Julai adalah hari minggu. Kalau boleh hari ini kami dapatkan surat jawapan," katanya kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan kepimpinan BN, pada Jumaat.
Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu berkata, bagaimanapun pihaknya tidak mendesak RoS untuk meluluskan atau tidak, tetapi memberikan jawapan awal supaya mereka dapat siapkan parti susulan penggal 18 bulan akan berakhir hujung tahun ini.
"Sekiranya RoS tidak meluluskan permohonan UMNO untuk menangguhkan pemilihan parti sehingga enam bulan selepas Pilihan Raya Umum (PRU), UMNO tentunya perlu membuat persiapan untuk mengadakan mesyuarat.
"UMNO parti yang besar, kita ada 22,000 cawangan dan bukan mudah untuk gerakkan mesyuarat dalam satu hari. UMNO perlu masa dan tempoh lebih awal untuk RoS respon," katanya.
Kata Mohamad lagi, lulus atau tidak terpulang kepada RoS tetapi bagi UMNO, mereka mahu keputusan untuk uruskan hal ehwal parti.
"Jika tidak lulus, dalam mesyuarat cawangan-cawangan akan ada agenda pemilihan, jika lulus tiadalah agenda itu," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!