Corbeanu azam bantu kejayaan Blackpool
BIARPUN hadir dengan status pemain pinjaman, Theo Corbeanu tetap berazam untuk membantu Blackpool untuk mencatatkan kejayaan pada saingan Liga Kejuaraan musim ini.
Malah menurut pemain kelahiran Kanada berusia 20 tahun itu dia yakin dapat membantu skuad The Seasiders itu untuk mencapai sasaran yang ditetapkan musim ini.
“Bagi saya Blackpool merupakan sebuah kelab yang kaya dengan sejarah dan memiliki azam besar.
“Biarpun masih mempunyai kontrak dengan Wolverhampton Wanderers (Wolves), dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL), saya rasa bangga apabila khidmat diperlukan di sini.
“Malah, rakan sepasukan di Wolves, Connor Ronan turut menegaskan bahawa Blackpool sebuah pasukan yang bagus dan saya membuat keputusan tepat untuk beraksi bersama mereka walaupun hanya sebagai pemain pinjaman,” katanya.
Untuk rekod, Corbeanu yang juga merupakan pemain kebangsaan Kanada bakal beraksi secara pinjaman dengan Blackpool di sepanjang musim panas ini.
Dengan memiliki enam caps bersama Kanada, kehadiran Corbeanu dilihat mampu membawa kejayaan buat Blackpool musim panas ini.
Sementara itu Corbeanu menyifatkan dia gembira menjalani latihan bersama pemain Blackpool dan tidak sabar membantu kelab itu untuk melakar kemenangan pada musim baharu nanti.
“Saya sudah tidak sabar untuk beraksi di hadapan penyokong dan seterusnya cuba mencipta nama di sini.
“Tekad saya hanya satu; membantu kelab ini untuk mencatatkan kemenangan sebanyak yang boleh dan menamatkan saingan pada kedudukan terbaik,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!