AUG 2022: CDM optimis Malaysia capai sasaran pingat emas
KONTINJEN Malaysia kini berada di landasan tepat untuk mencapai 35 pingat emas disasarkan pada temasya Sukan Universiti Asean (AUG) 2022 yang berlangsung di Ubon Ratchathani Thailand.
Ia berikutan atlet beberapa sukan termasuk badminton dan karate berjaya menampilkan prestasi luar biasa sekali gus menyumbang pingat emas sepanjang tempoh tiga hari berlangsungnya temasya dwi tahunan itu.
Ketua Kontinjen Malaysia, Profesor Dr Mohd Fo’ad Sakdan berkata, berdasarkan prestasi semasa sepanjang tempoh tiga hari berlangsungnya AUG, beliau tidak menolak kemungkinan akan ada elemen kejutan membabitkan beberapa acara lain kelak.
“Atlet Malaysia secara keseluruhannya menunjukkan prestasi baik dan cemerlang.
Selepas enam jenis sukan dijalankan setakat ini, semua atlet berjuang dengan jitu dan jaya tanpa sebarang masalah.
“Secara keseluruhannya, saya optimis Malaysia akan dapat mencapai sasaran pingat yang ditetapkan malah berdasarkan prestasi terkini atlet mungkin menjangkau daripada sasaran lebih cerah.
“Acara karate dan badminton amat mengejutkan kerana rata-rata atlet mempamerkan aksi begitu mantap berbanding AUG pada edisi lalu,” katanya ketika ditemui pada majlis perasmian temasya AUG di Stadium Universiti Ubon Ratchathani Rajabhat, Ubon Ratchathani pada Khamis.
Untuk rekod, temasya dwi tahunan itu membuka tirai secara rasminya semalam dengan penyertaan lebih 1,500 peserta membabitkan 11 negara di rantau ini.
Penganjuran kali ini yang berpusat di negeri keempat terbesar di Thailand mempertaruhkan 228 pingat membabitkan 30 acara.
Pada acara pembukaan di Stadium Universiti Ubon Ratchathani Rajabhat itu, menyaksikan pemain bola sepak negara yang juga pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Muhammad Aliff Najmi Shaani dipilih sebagai pembawa jalur gemilang.
Penyertaan Malaysia pada kali ini membawa harapan besar dengan meletakkan sasaran membawa pulang 35 emas sekali gus mengulangi pencapaian sama yang dilakukan pada edisi 2018 di Myanmar.
Setakat tiga hari temasya terbabit berlangsung menyaksikan Malaysia meraih pencapaian positif apabila sudah membawa pulang 16 emas 22 perak dan 12 gangsa.
Temasya berkenaan diadakan selama 11 hari dengan acara terakhir bakal berlangsung pada 6 Ogos depan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!