MPT serah laporan isu mural Amelia Earhart kepada Exco Perak
Yang Dipertua MPT, Khairul Amir Mohamad Zubir berkata, pihaknya telah membuat siasatan dan semakan berhubung isu itu yang menjadi perdebatan dalam kalangan orang ramai.
"Saya telah serahkan kepada Datuk Nolee Ashilin dan saya percaya beliau akan memberi jawapannya nanti bagi menyelesaikan isu terbabit,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Pelancaran Penggunaan Peralatan Sifar Karbon di pekarangan bangunan MPT di sini pada Jumaat.
Mural Amelia Earhart sepanjang 27 meter dan setinggi 12 meter dilukis pada 2015 dengan kos RM280,000.
Sebelum ini, wujud perdebatan dalam kalangan ahli sejarah dan menerusi media sosial mengenai fakta bahawa juruterbang Amerika Syarikat Amelia Earhart yang dikatakan mendarat di Lapangan Terbang Tekah pada 7 Jun 1937 untuk mengisi bahan api sewaktu dinobatkan sebagai wanita pertama membuat penerbangan solo di Lautan Atlantik.
Earhart melakukan penerbangan di antara Thailand dan Singapura dan diberi kebenaran untuk mendarat di Lapangan Terbang Taiping pada 7 Jun 1937.
Bagaimanapun, Earhart dikatakan tidak mendarat di Taiping malah tiada foto yang menunjukkan beliau mendarat atau berada di Lapangan Terbang Tekah.
Ini kerana jika benar beliau mendarat di sini, sudah pasti ada rakaman foto kerana misi penerbangannya diikuti pihak akhbar pada masa itu dan mendapat liputan.
Sebaliknya dalam catatannya, Earhart dilaporkan menyebut beliau memutuskan untuk terbang terus ke Singapura sejauh 875 batu dan tiba di sana pada jam 5.25 petang. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!