Banjir Baling: Operasi LRA Sungai Dua tidak terjejas

LRA Sungai Dua. - Gambar fail Bernama
LRA Sungai Dua. - Gambar fail Bernama
A
A
A

BUTTERWORTH - Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) memaklumkan operasi Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Dua di sini adalah normal dan tidak terjejas walaupun berlaku kejadian kepala air di Baling, Kedah semalam.

PBAPP dalam kenyataan berkata, sehingga jam 1 tengah hari ini, kapasiti pengeluaran air di LRA Sungai Dua berada pada tahap maksimum dan pihaknya menjalankan pemantauan kualiti air mentah yang berterusan di Sungai Muda, Kedah sebagai langkah waspada berikutan kejadian kepala air di Baling.

"Hasil pemantauan PBAPP sehingga jam 1 tengah hari juga mendapati, tahap kekeruhan air mentah telah stabil dan situasi normal kembali," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Terdahulu, PBAPP mengeluarkan notis waspada kepada pengguna di negeri itu menerusi laman Facebooknya selepas mendapati paras kekeruhan air mentah di muka sauk Lahar Tiang mencecah Unit Kekeruhan Nephelometric (NTU) 261.

Sementara LRA Sungai DUA NTU 172 dan pengeluaran di LRA SUngai Dua ialah 1,012.5 juta liter sehari (JLH).

Menurut kenyataan itu ia kemungkinan berpunca daripada laporan banjir kedua di Baling, Kedah, semalam dan NTU di muka sauk Lahar Tiang telah turun kepada 228 sebelum notis waspada yang dikeluarkan oleh PBAPP ditamatkan pada 1 tengah hari.

"Justeru itu, pengguna tidak perlu bimbang dan untuk aduan dan maklumat lanjut, boleh hubungi Pusat Panggilan 24 jam PBAPP di talian 04-2558255," menurut kenyataan itu.- Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!