ZPP, BIMB jalin kerjasama bantu usahawan asnaf
BUKIT MERTAJAM - Zakat Pulau Pinang (ZPP) menjalinkan kerjasama dengan Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) bagi memperkasakan aktiviti keusahawanan dalam kalangan asnaf di negeri ini.
Matlamat itu dizahirkan melalui memorandum persefahaman (MoU) bagi perlaksanaan Inisiatif Pembiayaan Mikro i-TEKAD, Pembiayaan Mikro BangKIT dan Geran Perniagaan BanKIT (BBG) bagi tujuan pembangunan usahawan mikro yang belum layak mendapat kemudahan pembiayaan perbankan.
Timbalan Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang, Datuk Roslan Ahmad berkata, Mikro i-TEKAD Bank Islam Malaysia Berhad merupakan salah satu program di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) bagi membantu usahawan mikro khususnya dalam kalangan B40 dan asnaf.
Menurutnya, melalui program itu ia bukan sahaja dapat membantu menjana pendapatan mampan bagi mereka malah menjadi daya tahan kewangan perusahaan mikro.
"Program Pembiayaan Mikro i-TEKAD yang dimeterai melalui MoU ini merupakan inisiatif kewangan sosial yang bertujuan khusus menyokong dan memudahkan pembiayaan bagi usahawan mikro asnaf dan B40 yang kehilangan pendapatan akibat wabak Covid-19.
"Program ini direka untuk menggunakan sumbangan kewangan sosial (seperti zakat, wakaf dan sedekah) bagi penyediaan modal permulaan yang digabungkan dengan pembiayaan mikro berpatutan untuk pemohon yang layak," katanya ketika berucap pada majlis menandatangani MoU antara ZPP dan BIMB di sini.
Dokumen persefahaman itu dimeterai oleh Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Operasi) ZPP, Mohamad Kairi Ghazalli manakala BIMB diwakili Ketua Pegawai Rangkuman Kewangan Kumpulan, Mohd Nazri Chik dalam majlis yang diadakan di Ibu Pejabat ZPP di Bandar Perda, pada Jumaat.
Dalam pada itu, Roslan berkata selaras dengan Program Pemerkasaan Asnaf ZPP yang dilaksanakan tahun ini, beliau berharap MoU yang dimeterai membolehkan usahawan asnaf yang terpilih dapat memohon pembiayaan untuk mengembangkan dan mengekalkan perniagaan mereka dengan menggunakan pembiayaan yang patuh syariah.
Jelasnya, pelaksanaan ini merupakan pelan jangka panjang bagi merealisasikan agenda pembasmian kemiskinan kerana isu kemiskinan perlu ditangani secara berterusan dan bukannya pada musim-musim tertentu sahaja.
"Saya berharap skop kerjasama ini bakal memberi impak yang positif dalam membantu usahawan mengubah perubahan sub-sosio ekonomi yang lebih proaktif dan positif menerusi pelan pembangunan pemerkasaan asnaf.
"Menjadi harapan kami, MoU yang dimeterai ini akan menjadi batu loncatan serta penanda permulaan usahasama yang akan membuahkan hasil sekaligus memberi manfaat kepada masyarakat Islam di Pulau Pinang,"katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!