30 scammer kena dakwa tawar pekerjaan tidak wujud

Kesemua tertuduh mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Manjung pada Jumaat atas pertuduhan melakukan penipuan secara dalam talian membabitkan tawaran pekerjaan tidak wujud.
Kesemua tertuduh mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Manjung pada Jumaat atas pertuduhan melakukan penipuan secara dalam talian membabitkan tawaran pekerjaan tidak wujud.
A
A
A

MANJUNG - Seramai 30 individu mengaku bersalah atas tuduhan melakukan penipuan secara dalam talian membabitkan tawaran pekerjaan tidak wujud di Mahkamah Majistret Seri Manjung pada Jumaat.

Mengikut pertuduhan, kesemua mereka yang berusia di antara 18 hingga 40 tahun itu melakukan perbuatan terbabit di No 1605 Desair Apartment, Jalan Lumut, Tingkat 12 dalam daerah Manjung jam 5.45 pagi pada 25 Julai lalu.

Tertuduh melakukan suatu pakat jahat jenayah dengan bersetuju antara satu sama lain untuk persediaan melakukan suatu perbuatan menyalahi undang-undang iaitu menipu tawaran kerja tidak wujud dengan persediaan berdasarkan 124 unit telefon bimbit, sembilan unit komputer riba dan 22 set komputer.

Mereka dituduh mengikut Seksyen 120(B)(2) Kanun Keseksaan dan dibaca bersama dengan Seksyen 34 Kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih daripada enam bulan atau denda atau kedua-duanya jika disabitkan kesalahan.

Kesemua tertuduh termasuk tiga warga China itu membuat pengakuan bersalah selepas pertuduhan dibaca di dalam bahasa Mandarin di hadapan Majistret A Hafiizh Abu Bakar.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Inspektor Nurjihan Jaya manakala tertuduh diwakili peguam, Muhammad Syafiq Salleh dan Tuan Muhammad Arief Tuan Mohamad Yusof.

Mahkamah kemudiannya menjatuhkan hukuman denda RM3,000 setiap seorang atau penjara tiga bulan jika gagal membayar denda kepada tiga remaja berusia 18 tahun dan 19 tahun.

Tertuduh yang lain pula masing-masing didenda RM5,000 atau empat bulan penjara jika gagal membayar denda, bagaimanapun kesemua mereka membayar denda berkenaan.

Sementara itu, tiga lelaki warga asing turut dirujuk kepada Jabatan Imigresen.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!