Derita sesak nafas, masalah paru-paru akibat rokok, vape
SHAH ALAM - Akibat merokok dan menghisap rokok elektronik (e-rokok) atau vape, seorang pesakit menderita sesak nafas atau masalah paru-paru yang dipanggil ‘spontaneous pneumothorax’ serta ditahan di wad hampir seminggu.
Pesakit yang juga pengguna Facebook dengan nama Faris Ifwat Mohamad Fauzi berkata, masalah tersebut merupakan komplikasi di mana udara masuk ke rongga paru-paru menyebabkan paru-paru tidak dapat mengembang.
“Situasi ini menyebabkan paru-paru sebelah kanan saya dihimpit oleh udara yang terperangkap seterusnya menjadi kecut.
“Jadi setelah berbincang, doktor memberitahu saya untuk terus menebuk di bahagian kanan dada dengan segera dan meletakkan tiub dada (chest tube) bagi mengeluarkan udara untuk membolehkan paru-paru bahagian kanan saya berfungsi dengan baik,” katanya melalui siaran di Facebooknya pada Rabu.
Faris Ifwat berkata, paru-parunya mungkin akan berhenti dan boleh menyebabkan kematian sekiranya hospital lambat bertindak menebuk badannya.
“Alhamdulillah, selepas lebih 72 jam memakai tiub dada, udara yang terperangkap dapat dikeluarkan dan tiub tersebut terus ditanggalkan pada hari keempat.
“Sekarang paru-paru saya masih lemah dan memerlukan latihan bagi menguatkan semula paru-paru saya seperti biasa,” ujarnya.
Difahamkan Faris Ifwat telah selamat discaj pada Selasa lalu di Hospital Teluk Intan.
Dalam pada itu, Faris Ifwat berkata, dia juga tidak percaya mengenai keburukan tentang rokok atau vape sama seperti orang lain sebelum ini.
“Dulu saya seperti anda semua tak percaya. Bila dah kena pada diri sendiri baru ada akal orang cakap.
“Untuk kawan-kawan yang bertanya rasa sakit macam mana bila mula kena. Rasa sakit dia rasa macam susah nak bernafas, nafas jadi pendek dan tercungap cungap, macam ada sesuatu menghalang saluran pernafasan dan pergerakan juga terbatas.
“Rasa sakit dia hanya ALLAH saja yang tahu,” jelasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!