Jambatan tidak mampu bertahan jika dilanda kepala air
BALING - Jambatan Bailey di Kampung Iboi, Kupang di sini tidak mampu bertahan sekiranya dilanda kejadian kepala air yang membawa banyak bongkah kayu dan batu, seperti yang berlaku pada 4 Julai lalu.
Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya, Datuk Wan Ahmad Uzir Wan Sulaiman berkata, jambatan sementara itu perlu ditutup untuk kegunaan orang ramai, sekiranya paras air sungai meningkat dan deras bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini.
Beliau menjelaskan dalam kejadian banjir semalam, pasukan Jabatan Kerja Raya (JKR) telah membuat pemeriksaan ke atas struktur jambatan itu dan mendapati ia tidak terjejas.
"Bagaimanapun berlaku hakisan tanah di jalan ke jambatan itu, yang menyebabkan kemudahan itu terpaksa ditutup buat sementara waktu, untuk membolehkan kerja-kerja membaiki kerosakan jalan raya itu dilakukan,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini pada Jumaat.
Dalam kejadian pada khamis, hujan lebat selama tiga jam bermula pada jam 2 petang menyebabkan paras air Sungai Kupang meningkat dan menjadi deras serta melimpah ke kawasan penempatan penduduk.
Paras air sungai juga meningkat melepasi jambatan itu, menyebabkan laluan itu ditutup kepada orang ramai bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini.
Jambatan keluli bermodular 'Old Bailey Bridge' dibina di Kampung Iboi di sini bagi menggantikan jabatan asal yang musnah dalam kejadian kepala air pada 4 Julai lalu. Kejadian itu turut meragut tiga nyawa termasuk seorang wanita hamil empat bulan.
Sementara itu, Wan Ahmad Uzir berkata, pihak Jabatan Pengairan dan Saliran juga telah menjalankan kerja-kerja mendalamkan Sungai Kupang sejak minggu lepas, bagi mengelakkan kejadian limpahan air ke kawasan penempatan penduduk.
Bagaimanapun beliau menjelaskan kuantiti pasir yang agak banyak menyukarkan kerja itu dilakukan dan sungai tersebut menjadi cetek semula setiap kali hujan yang membawa pasir dari hulu sungai ke kawasan terlibat.
Dalam kejadian semalam, seramai 58 orang daripada 19 keluarga dari Kampung Padang Empang di sini dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS), selepas kediaman mereka dinaiki air ekoran hujan lebat selain limpahan air Sungai Kupang. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!