Bukit Aman siasat salah guna kuasa Apandi dalam kes 1MDB
SHAH ALAM - Polis mengesahkan telah membuka kertas siasatan berhubung laporan dibuat Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago terhadap bekas Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali baru-baru ini.
Setiausaha Polis Diraja Malaysia (PDRM), Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin berkata, Ahli Parlimen Klang tersebut telah membuat laporan pada 27 Julai lalu susulan tidak berpuas hati terhadap hasil siasatan kes 1 Malaysia Development Berhad (1MDB).
"PDRM mengesahkan bahawa laporan polis yang dibuat Ahli Parlimen Klang pada 27 Julai mengenai isu tidak puas hati terhadap siasatan 1MDB disiasat oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Bukit Aman.
"Kes disiasat di bawah Seksyen 217 Kanun Keseksaan dan siasatan masih berjalan," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Media tempatan pada Jumaat melaporkan, Charles Santiago telah hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan untuk dirakam percakapan berhubung laporan yang dibuatnya itu.
Dalam laporan polis yang dibuatnya pada Rabu, Charles Santiago mendakwa Apandi Ali telah menyalahgunakan kedudukannya sebagai Peguam Negara semasa di bawah pimpinan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!