Negeri Sembilan tiada masalah pinda Undang-undang Tubuh Negeri

Laporan Sinar Harian pada Khamis. Gambar kanan: Aminuddin - Foto Bernama
Laporan Sinar Harian pada Khamis. Gambar kanan: Aminuddin - Foto Bernama
A
A
A

SEREMBAN - Kerajaan Negeri Sembilan tidak mempunyai sebarang masalah bagi meminda Undang-undang Tubuh Negeri bagi membolehkan Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) (No 3) 2022 berkaitan larangan ahli Parlimen bertukar parti, dikuat kuasa.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun bagaimanapun berkata, agenda pindaan itu, tidak sempat untuk dibawa pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan yang dijadualkan pada Ogos ini, memandangkan memerlukan masa 14 hari untuk menghantar notis kepada ADUN.

"Insya-ALLAH, kita akan bawa dalam persidangan selepas itu, mungkin dalam November ini. Kerajaan negeri tiada masalah, kita nampak semua menyokong. Kita meraikan keputusan (lulus RUU) tersebut yang akan memberi keyakinan kepada pengundi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang.

"Ia juga memberi harapan kepada rakyat, rakyat dah jemu, muak tak suka kita lompat (parti) sesuka hati tanpa berbincang dengan pengundi yang memilih mereka,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Saintifik Tahunan Persatuan Patologi Veterinar Malaysia Kali ke-13 di sini pada Jumaat.

Pada Khamis, Pengerusi DAP, Lim Guan Eng dilaporkan berkata, Pakatan Harapan (PH) memberi jaminan semua negeri di bawah pentadbiran mereka iaitu Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan akan meminda Perlembagaan dan Undang-Undang Tubuh Negeri secepat mungkin, selepas RUU itu diluluskan.

Guan Eng dipetik sebagai berkata langkah itu bagi membolehkan RUU berkaitan larangan wakil rakyat bertukar parti itu dapat diseragamkan dan dikuat kuasa di peringkat negeri sebelum PRU15.

Dewan Rakyat pada Khamis mencatat sejarah apabila RUU berkenaan diluluskan dengan sokongan majoriti lebih dua pertiga. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!