Permohonan Najib didengar Khamis ini

Najib Razak. - Foto Sinar Harian/SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
Najib Razak. - Foto Sinar Harian/SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
A
A
A

PUTRAJAYA - Mahkamah Persekutuan menetapkan Khamis ini (4 April) untuk mendengar permohonan bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk semakan pembatalan perintah menangguhkan perbicaraannya melibatkan dana SRC International Sdn Bhd.

Ketika dihubungi, peguamnya Harvinderjit Singh mengesahkan tarikh pendengaran itu.

Pada hari yang sama Mahkamah Persekutuan akan juga mendengar empat rayuan lain, tiga oleh Najib dan satu oleh pihak pendakwa.

Najib gagal dalam tiga dari empat rayuan di Mahkamah Rayuan berhubung permintaannya mendapatkan dokumen tambahan, perintah melarang media dan orang awam daripada membicangkan merit kesnya dan langkah Peguam Negara untuk penarikan sijilnya bagi memindahkan tujuh tuduhan dari Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi.

Mahkamah Rayuan, pada 21 Mac, bagaimanapun membenarkan rayuan Najib yang mahukan pihak pendakwa menunjukkan surat pelantikan pendakwa ad hoc Datuk Sulaiman Abdullah kepada pihak pembela.

Pada 27 Mac tahun ini, panel tujuh hakim Mahkamah Persekutuan diketuai Ketua Hakim Negara Tan Sri Richard Malanjum membatalkan perintah penangguhan perbicaraan diberikan oleh Mahkamah Rayuan kepada Najib sehingga selesai rayuannya berhubung perkara interlokutori.

Kes beliau dikembalikan ke Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur di hadapan hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali yang seterusnya menetapkan esok untuk perbicaraan.

Ahli Parlimen Pekan berusia 66-tahun itu menghadapi tiga tuduhan pecah amanah jenayah dan satu tuduhan salah guna kedudukan berhubung dana SRC International berjumlah RM42 juta.

Artikel Berkaitan:

Beliau juga didakwa atas tiga tuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!