Skuad Bunga Raya gagal saingi kehebatan juara dunia, Afrika Selatan
SKUAD negara ternyata bukan tandingan kepada jagoan dunia, Afrika Selatan apabila tumpas 0-46, pada aksi pembukaan acara ragbi tujuh sebelah Sukan Komanwel Birmingham 2022 hari ini (Jumaat).
Sebaik permainan bermula di Stadium Coventry di sini, skuad bimbingan Mohd Saizul Hafifi Md Noor itu gagal menembusi benteng pertahanan juara dunia tersebut, apabila ketinggalan 0-22 pada separuh masa pertama permainan.
Hasrat skuad Bunga Raya untuk mendapatkan mata pada babak kedua juga tidak kesampaian, apabila serangan dilakukan mudah dipatahkan benteng pertahanan pasukan berada di ranking pertama dunia itu, dalam saingan tujuh sebelah tersebut.
Mohd Saizul Hafifi mengakui berdepan pasukan terbaik dunia itu sesuatu yang memang sudah dijangka, namun pasukan negara sudah memberikan terbaik dengan berpeluang membuat serangan terutama di separuh masa pertama.
"Tetapi bila melakukan serangan, kita sering kehilangan penguasaan terhadap bola. Malah pemain kita juga gagal menyaingi permainan pantas dipamerkan pasukan Afrika Selatan. Namun, corak permainan dipamerkan pemain memberi mereka keyakinan untuk perlawanan seterusnya,” katanya.
Skuad negara akan berdepan Scotland pada perlawanan kedua Kumpulan B malam ini waktu tempatan atau awal pagi waktu Malaysia, sebelum melengkapkan aksi peringkat kumpulan menentang Tonga pada 30 Julai.
Pada edisi Gold Coast 2018, skuad Bunga Raya tujuh sebelah tersingkir awal selepas tumpas kepada Papua New Guinea (5-31), Scotland (0-41) dan Afrika Selatan (0-43). - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!