Tengku Hassanal berangkat ke Majlis Kesyukuran, Doa Selamat
KUANTAN - Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah berkenan berangkat ke Majlis Kesyukuran dan Doa Selamat Sempena Memuliakan Ulang Tahun Hari Keputeraan Yang Ke-63 Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Masjid Tengku Ampuan Afzan, Indera Mahkota, di sini.
Al-Sultan Abdullah yang diputerakan pada 30 Julai 1959, kini bersemayam di Istana Negara selepas ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Agong Ke-16 pada 2019.
Keberangkatan tiba baginda pada 6.30 petang diiringi Tengku Panglima Raja Kolonel Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah dan kerabat Diraja Pahang.
Hadir sama barisan pentadbiran Pahang yang diketuai Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan ketua-ketua jabatan.
Majlis dimulakan dengan bacaan yasin dan doa selamat kesyukuran ulang tahun keputeraan Al-Sultan Abdullah dipimpin oleh Mufti Pahang Datuk Seri Dr Abdul Rahman Osman, sebelum doa akhir tahun 1443 Hijrah dan awal tahun 1444 Hijrah dibacakan.
Tengku Hassanal kemudiannya menunaikan solat Maghrib yang diimamkan Mohamad Syaheed Sabri. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!