Chee Feng buka jalan skuad negara balas dendam

Leong Chee Feng - Foto Bernama
Leong Chee Feng - Foto Bernama
A
A
A

BEBERAPA jam selepas skuad pingpong wanita negara mengalami kekalahan dalam aksi pembukaan Kumpulan 3 menentang Australia dengan keputusan 0-3, skuad lelaki bangkit untuk mengubah kedudukan dalam perlawanan pembukaan Kumpulan 4.

Pemain senior Leong Chee Feng mempamerkan aksi cemerlang apabila mengutip dua mata untuk Malaysia sekali gus membantu pasukan negara mengatasi Australia 3-1 dalam acara yang berlangsung di Dewan Pusat Pameran Negara 3, di sini, pada Jumaat.

Selepas mengharungi aksi lima set yang mendebarkan menentang Xin Yan pada perlawanan kedua dengan 9-11, 11-9, 11-6, 9-11, 11-3, pemain berusia 24 tahun itu kembali beraksi dengan lebih bertenaga selepas tiga set kemenangan menentang Finn Luu, 11-6, 11-4, 11-8, dalam perlawanan keempat dan terakhir.

Menyedari bahawa Australia mempunyai peluang untuk mengikat perlawanan selepas berjaya merapatkan jurang 2-1 berikutan kemenangan Nicholas Lum ke atas Choong Javen dalam perlawanan ketiga, 11-5, 13-11, 11-13, 9-11, 11-6, Chee Feng mengakui beliau langsung tidak berasa tertekan untuk menundukkan pihak lawan.

"Saya hanya melakukan yang terbaik dan menggunakan segala pengalaman yang saya pelajari dalam latihan untuk membantu Malaysia mencatat kemenangan ke atas Australia,” katanya kepada Bernama ketika ditemui selepas perlawanan.

Javen, yang bergabung dengan Wong Qi Shen menghadiahkan mata pertama buat Malaysia selepas menewaskan Finn Luu-Nicholas Lum, 11-9, 11-5, 7-11, 9-11, 11-8.

Chee Feng dan pasukanya akan kembali beraksi menentang Mauritius manakala skuad wanita akan berpeluang meraih kemenangan pertama mereka di sini setelah dijadualkan bertemu Maldives, dengan kedua-dua perlawanan akan berlangsung lewat hari ini. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!