'Badang' negara bersemangat buru pingat
DUA 'badang' negara, Muhamad Aznil Bidin dan Mohamad Aniq Kasdan sudah bersedia memberikan tentangan kepada jagoan dunia apabila kem angkat berat negara menyingkap cabaran Sukan Komanwel Birmingham 2022 di Dewan NEC 1, Birmingham pada Sabtu.
Menurut pengurus skuad angkat berat negara, Amirul Hamizan Ibrahim, kedua-dua jagoan negara itu yang bersedia fizikal dan mental tersebut juga teruja untuk memberikan aksi terbaik masing-masing.
"Insya-ALLAH, Muhamad Aznil dan Mohamad Aniq akan melakukan angkatan yang terbaik dalam meraih keputusan positif untuk kontinjen negara.
"Malah, kedua-duanya kelihatan begitu bersemangat dan bersedia untuk bertanding apabila fokus menjalani persiapan rapi yang disusun ketua jurulatih Yon Haryono sejak sampai di Birmingham.
"Kemudahan latihan serba lengkap dan selesa serta sangat baik disediakan penganjur di Birmingham juga menyemarakkan semangat para atlet kita," katanya kepada Sukan Sinar sambil mengharapkan doa dan sokongan berterusan rakyat Malaysia.
Untuk rekod, Muhamad Aznil dan Mohamad Aniq yang merupakan antara taruhan pingat skuad angkat berat negara apabila masing-masing akan turun beraksi pada final kategori 61 kilogram (kg) dan 55kg.
Muhammad Aznil tampil selaku penyandang juara selepas memenangi pingat emas kategori sama pada Sukan Komanwel Gold Coast 2018.
Ditanya mengenai cabaran cuaca kepada Muhamad Aznil dan Mohamad Aniq di Birmingham, Amirul Hamizan berkata, "Insya-ALLAH, faktor cuaca tidak menghadirkan masalah kepada kedua-duanya disebabkan mereka sudah biasa dan telah dapat menyesuaikan diri setelah didedahkan dengan pengalaman beraksi di luar negara sebelum ini."
Pada masa sama, Amirul Hamizan menitipkan pesanan buat kedua prospek pingat negara itu supaya kekal fokus pada hari pertandingan.
"Di Birmingham 2022, lakukan yang terbaik untuk negara setelah menunggu empat tahun untuk temasya besar seperti Sukan Komanwel ini.
"Jangan sesekali persia-siakan peluang apabila diberikan kesempatan membuktikan sesuatu setelah melalui pelbagai cabaran untuk sampai di bumi Birmingham 2022.
"Hanya tinggal beberapa jam sahaja lagi untuk Muhamad Aznil dan Mohamad Aniq merealisasikan impian seterusnya mengharumkan nama Malaysia," katanya.
Untuk rekod, Persatuan Angkat Berat Malaysia (PABM) turut mempertaruhkan lima lagi atlet di temasya kali ini - Muhammad Erry Hidayat (73kg), Elly Cascandra Engelbert (55kg), Mohamad Nasir Roslan (81kg), Muhammad Hafiz Shamsuddin (109kg) dan Marceeta Marlyne (59kg).
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!