Jersi Man U 'Bossku' dilelong RM50,000
IPOH - Jersi Manchester United yang ditandatangani bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dilelong dengan harga RM50,000 pada Majlis Makan Malam Amal Bersama Bossku di Pusat Konvensyen Casuarina di sini pada Jumaat.
Bidaan tersebut dimenangi Datuk Seri Vermillion Ng yang membuat tawaran maksimum bagi barangan tersebut.
Majlis anjuran Institut Strategi Antarabangsa (ISI) itu juga turut melelong dua barang lain iaitu sebiji bola sepak dengan tandatangan Najib bernilai RM50,000 dan enam biji bola golf yang dibingkaikan dilelong dengan harga RM60,000.
Hasil keseluruhan jualan tersebut disumbangkan kepada badan-badan amal terpilih bagi membantu golongan kurang bernasib baik.
Sementara itu, Najib yang ditemui pemberita berkata, majlis amal seperti itu amat baik sebagai usaha membantu pertubuhan bukan kerajaan (NGO) kebajikan.
"Penting bagi kita untuk menyokong peranan NGO sebab NGO ini boleh membantu kerajaan untuk menangani masalah-masalah sosial di mana mereka boleh ikhtiar sumbangan daripada syarikat mahupun orang perseorangan.
"Mereka boleh menyumbang tenaga bakti dan mereka juga boleh ada 'networking' bersama dengan pihak-pihak lain untuk membantu kita mengurangkan tekanan masalah sosial," katanya.
Pada majlis itu juga, sebanyak 16 pertubuhan amal menerima sumbangan RM10,000 untuk organisasi masing-masing.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!