Buka ruang udara, pendirian Arab Saudi kekal tidak berubah
RIYADH - Arab Saudi mengulangi negara itu tidak sama sekali akan mengubah pendiriannya berhubung isu Palestin, di sebalik keputusannya membuka ruang udara kepada semua pesawat antarabangsa termasuk dari Israel.
Pemangku kuasa delegasi tetap Arab Saudi ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Mohamed al-Atiq berkata demikian ketika sesi Majlis Keselamatan mengenai Palestin, lapor Agensi Anadolu memetik Agensi Berita Arab Saudi (SPA) pada Khamis.
"Arab Saudi mengesahkan pendirian teguhnya tidak akan berubah dan akan terus menyokong perjuangan dan rakyat Palestin walaupun membenarkan penerbangan antarabangsa melintasi ruang udaranya," katanya.
Beliau berkata, keputusan itu sejajar dengan kewajipan antarabangsanya dan langkah ini bukanlah bermakna ia menjadi permulaan kepada langkah-langkah lain.
Arab Saudi tidak mempunyai hubungan diplomatik dengan Israel dan berulang kali menyatakan bahawa ia tidak akan memulihkan hubungan diplomatik dengan Tel Aviv selagi isu Palestin tidak diselesaikan. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!