Krisis makanan negara di ambang bahaya: Sultan Nazrin

Sultan Nazrin Muizzuddin Shah. - Foto Bernama
Sultan Nazrin Muizzuddin Shah. - Foto Bernama
A
A
A

IPOH - Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah menitahkan agar gerakan secara besar-besaran dilakukan untuk memenuhi keperluan bekalan makanan negara yang ketika ini di ambang bahaya.

Baginda bertitah, sekiranya tiada langkah serius dilaksanakan dengan segera, negara akan menghadapi suasana darurat makanan.

Titah baginda, usaha-usaha perlu dilakukan secara bersungguh dan berfokus untuk mengurangkan import selain memperkenalkan langkah-langkah strategik mewujudkan petani generasi baharu, meluaskan kawasan tanaman makanan dan menggalakkan pengeluaran melalui kaedah moden walaupun di atas tanah bersaiz kecil.

"Pada tahun 1974, Perdana Menteri, Tun Abdul Razak Hussein melancarkan Rancangan Buku Hijau bertujuan mengekang kebergantungan keterlaluan terhadap bahan makanan import.

"Rancangan Buku Hijau ialah satu gagasan penting untuk mengangkat sektor pertanian tanpa menafikan kepentingan sektor lain.

"Malangnya wawasan keselamatan makanan yang dirintis oleh Tun Abdul Razak turut dikuburkan bersama jasadnya. Gagasan yang terkandung dalam Rancangan Buku Hijau wajar dikunjungi, disuntik nafas baharu dan dihidupkan semula," titah baginda.

Sultan Nazrin bertitah sempena Majlis Sambutan Maal Hijrah 1444 Peringkat Negeri Perak dengan tema 'Keselamatan Makanan: Penghijrahan Visi- Penghijrahan Misi' di Pusat Konvensyen Casuarina@Meru, Bandar Meru Raya di sini pada Sabtu.

Turut berangkat pada majlis itu, Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim; Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa dan Raja Puan Besar Perak, Raja Nazhatul Shima Idris Shah.

Mengiringi baginda, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad dan Exco Kerajaan Perak.

Sultan Nazrin bertitah, Malaysia berada dalam status defisit bekalan makanan dengan import makanan pada tahun 2020 mencecah RM55.5 bilion berbanding RM33.8 bilion eksport.

Titah baginda, defisit perdagangan produk makanan negara pula meningkat daripada RM1 bilion pada tahun 1990 kepada RM11 bilion pada tahun 2010 dan RM21.7 bilion pada tahun 2020.

"Untuk memenuhi keperluan domestik, dalam setahun Malaysia mengimport 88 peratus daging kambing bernilai RM879 juta, 76 peratus daging lembu bernilai RM2.2 bilion, mangga bernilai RM87.9 juta.

"Kita juga mengimport kelapa bernilai RM266 juta walaupun pokok kelapa begitu mudah tumbuh dan berbuah di bumi ini, kopi, bawang, kentang, sotong, susu segar, kubis bulat, cili dan halia.

"Malaysia hanya menghasilkan 70 peratus beras, 66 peratus buah-buahan dan 48 peratus sayur yang kita perlukan. Pada tahun 2020, Malaysia mengimport beras bernilai 620 juta dolar Amerika, meletakkan negara kita sebagai pengimport sembilan terbesar di dunia," titah baginda.

Baginda turut memberi penekanan terhadap perangkaan tahun 2020 yang menunjukkan hanya 17 peratus daripada keseluruhan 5.3 juta hektar tanah pertanian di negara ini digunakan untuk menghasilkan makanan.

Titah baginda, baki tanah berkenaan iaitu 4.2 juta hektar yang menyamai 83 peratus digunakan untuk tanaman kontan (cash crop) komoditi kelapa sawit dan getah.

"Sedarilah! duit dalam tangan tidak bermakna jika makanan berada dalam genggaman orang lain. Kita akan kebuluran jika orang tidak mahu menjual. Era makanan murah telah berakhir.

"Jika tiada langkah serius dilaksanakan segera, kita akan menghadapi suasana darurat makanan. Oleh itu perlu difahami falsafah yang tersirat di sebalik konsep jelapang padi dalam masyarakat Melayu," titah baginda.

Sultan Nazrin bertitah, permintaan makanan 32 juta penduduk Malaysia merupakan permintaan harian yang berterusan.

Titah baginda, program menghasilkan makanan hendaklah terus diperluaskan dan dijadikan program tetap di setiap masjid dan surau di Perak.

"Masjid dan surau hendaklah berada di barisan hadapan di setiap mukim dan kampung, memberikan sebaik contoh teladan, mendorong dan membimbing masyarakat setempat melaksanakan ibadah fardu kifayah menghasilkan makanan.

"Beta menghargai sambutan masjid, surau, pusat tahfiz dan sekolah yang bergerak aktif mengusahakan pelbagai program penghasilan makanan," titah baginda.

Baginda bertitah, langkah Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak serta Jabatan Agama Islam Perak menjalin kerjasama dengan Jabatan Pertanian untuk meningkatkan penghasilan bahan makanan merupakan perintisan usaha baharu di luar daripada norma budaya kerja biasa.

"Sokongan kewangan memenuhi tanggungjawab sosial korporat yang dilakukan oleh Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (SADC), Perbadanan Menteri Besar Perak (MB INC) dan Perbadanan Kemajuan Islam Negeri Perak Sendirian Berhad (PSB), membantu membiayai program menghasilkan makanan yang diusahakan masjid, surau, tahfiz dan sekolah amatlah bermakna dan sungguh mendorongkan.

"Semoga lebih banyak badan berkanun, GLC dan pihak swasta tampil ke hadapan menghulurkan sumbangan dan bantuan untuk membiayai projek-projek menghasilkan makanan.

"Para belia hendaklah menawarkan diri- menawarkan pimpinan membangunkan program briged muda petani moden," titah baginda.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!