Jambatan gantung Kampung Mansiang Baru dibina dalam masa terdekat
KENINGAU - Pembinaan jambatan gantung sebagai jalan penghubung bagi penduduk Kampung Mansiang Baru di sini sudah tersenarai dalam pelaksanaan dan pembinaannya dijangka bermula dalam masa terdekat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tulid, Flovia Ng berkata, Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) telah meluluskan peruntukan untuk pembinaan jambatan gantung di kampung berkenaan.
"Jambatan gantung untuk Kampung Mansiang Baru sudah tersenarai dalam perlaksanaan melalui peruntukan ADUN.
"Kelulusan daripada KPLB sudah dikeluarkan dan dalam masa terdekat ini akan dilaksanakan," katanya ketika dihubungi pada Sabtu.
Sementara itu, Pegawai Pembangunan Masyarakat (PPM) Dewan Undangan Negeri (DUN) Tulid, Casmir Silip berkata, lawatan ke lokasi sudah dilakukan bersama ADUN Tulid pada Khamis lalu.
"Kita dapati memang ada keperluan membina jambatan gantung untuk alternatif lain selain jambatan aras rendah (low level crossing) dan kita telah berusaha untuk membantu masyarakat di situ.
"Pembinaan jambatan gantung akan dimulakan untuk proses cabutan tender dan selepas dikenal pasti kontraktor, kita akan mulakan pembinaan projek dalam tempoh seminggu ini," katanya.
Ditanya lebih lanjut jika ada cadangan untuk membina jambatan konkrit, beliau memaklumkan perkara itu juga antara perkara yang dibangkitkan untuk dimajukan permohonan kepada pejabat daerah.
"Dalam lawatan itu, kita cadangkan untuk memajukan permohonan jambatan konkrit bagi laluan kenderaan.
"Namun ini dalam perancangan dan kita difahamkan bukan penduduk saja boleh gunakan laluan ini, tetapi bagi penduduk lain yang membawa hasil pertanian seperti buah kelapa sawit dari kawasan itu," katanya.
Sebelum itu, Casmir memaklumkan terdapat sebanyak 30 rumah dan seramai 161 penduduk termasuk 20 murid serta pelajar yang menetap di kampung berkenaan.
Sinar Harian pada Jumaat melaporkan, murid dan pelajar terpaksa menggunakan laluan saluran paip untuk menyeberang Sungai Biah di kampung berkenaan jika paras air sungai meningkat.
Saluran paip berkenaan adalah satu-satunya alternatif untuk penduduk keluar dan masuk ke kampung berkenaan jika air sungai masih berada di paras yang tinggi dan deras.
Turut tular satu video berdurasi satu minit 32 saat yang memaparkan beberapa murid dari kampung berkenaan sedang meniti saluran paip berkenaan sehingga menimbulkan pelbagai reaksi daripada orang ramai termasuk dari segi keselamatan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!