Politik kepartian tak boleh atasi kepentingan nasional

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Annuar mengibarkan Jalur Gemilang bersama para peserta 'Berjalan Teguh Bersama'. - Foto Bernama
Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Annuar mengibarkan Jalur Gemilang bersama para peserta 'Berjalan Teguh Bersama'. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Politik kepartian tidak boleh didahulukan daripada kepentingan nasional dan negara, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa.

Menurutnya, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam apa jua tindakan terpaksa mengambil kira situasi negara dan kepentingan rakyat.

“Jadi, eloklah duduk bersama Perdana Menteri dan Perdana Menteri tak ada masalah untuk duduk dan berbincang atas apa jua perkara terutama sekali dengan rakan-rakan parti yang terlibat dalam pembentukan kerajaan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2022 di sini pada Sabtu.

Pada Khamis, Perikatan Nasional (PN) menggesa agar Ismail Sabri tidak mengendahkan terma-terma penting yang terkandung dalam perjanjian antara beliau dan gabungan itu.

Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, ini kerana telah ada persefahaman dan persetujuan di antara PN dan Ismail Sabri sewaktu hari pertama mereka menyokongnya.

Tambah Annuar, isu yang dibangkitkan oleh PN juga bukan merupakan satu perkara yang rumit.

“Kami semua berada dalam jemaah menteri menjalankan tugas seperti biasa penuh keharmonian.

“Saya percaya isu-isu yang dibangkitkan oleh Majlis Tertinggi PN, Perdana Menteri bersedia untuk mendengarnya,” ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!