AUG 2022: Kem olahraga lepas sasaran pingat emas lebih awal
KEM olahraga negara, terus cemerlang di temasya Sukan Universiti ASEAN (AUG) 2022 apabila berjaya menuai sembilan pingat emas setakat ini sekaligus berjaya melepasi sasaran yang ditetapkan iaitu tujuh emas.
Pada hari pertama yang berlangsung di Stadium Bandar Sisaket, skuad olahraga berjaya meraih dua emas iaitu menerusi dua pelajar Universiti Putra Malaysia (UPM), Azreen Nabila Alias dalam acara 100 meter (m) wanita dan Kamal Farhan A Rajman (lontar peluru).
Hari kedua pula, skuad olahraga berjaya menghadiahkan tiga emas menerusi Sadat Marzuki Ajisan dalam acara baling tukul besi, Mohamad Ezlan Dahalan (lompat tinggi) dan juga Lukman Hakim Ramlan (lompat jauh).
Bagi hari ketiga semalam, empat pingat emas lagi berjaya diraih skuad olahraga menerusi Savinder Kour dalam acara 800m wanita, Wan Muhammad Fazri Wan Zahari (800m lelaki), Daren James (3,000m lari berhalangan) dan kuartet 4x100m wanita.
Kuartet 4x100m wanita itu diketuai ratu pecut AUG 2022, Azreen Nabila, Nor Sarah Hadi, M. Darshini dan Nur Aishah Rofina Aling berjaya mencatat masa terpantas 47.18s untuk menewaskan kuartet tuan rumah dan Laos.
Bagaimanapun, hasrat untuk melihat Nor Sarah yang juga merupakan pemenang pingat emas di Sukan SEA Vietnam meraih emas dalam acara lompat bergalah tidak kesampaian selepas dia sekadar berpuas hati dengan perak dengan ketinggian 3.70m.
Pengurus skuad olahraga AUG 2022, Malik Tobias berkata, kesemua atlet menunjukkan semangat juang yang tinggi untuk mengharumkan nama negara pada temasya kali ini sehingga berjaya melepasi sasaran yang ditetapkan.
"Ini merupakan satu elemen kejutan apabila kita lepasi sasaran lebih awal sebelum acara olahraga melabuhkan tirai, sekarang kita sudah dapat sembilan emas dan kami jangka dapat mengutip sekurang-kurangnya dua lagi emas pada hari terakhir.
"Hari pertama kita dapat dua emas dan hari kedua pula tiga emas. Momentum berterusan pada hari ketiga dengan empat emas, semua ini adalah di luar jangkaan namun, segalanya atas usaha atlet itu sendiri yang berjuang habis-habisan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!