PTPTN, MOF bincang kaedah pengecualian bayaran pinjaman
PUTRAJAYA – Bagi memastikan insentif bayaran balik pinjaman dilaksanakan dengan berkesan, Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPN) akan mengadakan perbincangan dengan Kementerian Kewangan berkaitan peruntukan dan kaedah pelaksanaan akan dimaklumkan setelah dimuktamadkan.
Pengerusi PTPTN, Apli Yusoff berkata, pemberian insentif itu jelas menunjukkan keprihatinan kerajaan dan sebagai dorongan untuk menggalakkan pelajar yang merupakan peminjam PTPTN untuk mencapai pendidikan dengan cemerlang.
“PTPTN sebagai agensi di bawah Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) sentiasa komited memastikan agar urusan berkenaan pengecualian bayaran balik pinjaman ini dapat dilaksanakan dengan baik demi kebajikan para peminjam PTPTN,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Tambahnya, sebelum ini mulai tahun 2019, pengecualian bayaran balik pinjaman PTPTN hanya diberikan kepada peminjam yang mendapat Ijazah Sarjana Muda Kelas Pertama bagi kategori kumpulan B40 dan M40 sahaja.
Menurutnya, dengan pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sempena Majlis Sambutan Jubli Perak 25 Tahun PTPTN pada 27 Julai 2022, insentif ini akan diperluaskan kepada semua kategori peminjam yang bergraduat bermula tahun 2019 tanpa mengira had pendapatan.
Apli dalam masa sama turut merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada Perdana Menteri serta menyambut baik pengumuman mengenai insentif memberikan semula keistimewaan kepada mana-mana pelajar yang membuat pinjaman PTPTN dan mendapat Ijazah Sarjana Muda Kelas Pertama.
Inisiatif itu katanya, tanpa mengira status ekonomi, bangsa dan agama untuk ditukarkan pinjaman mereka kepada pengecualian bayaran balik pinjaman bagi peminjam PTPTN yang bergraduat bermula tahun 2019.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!