RUU Anti Lompat Parti perlu ada penambahbaikan

Mohd Shafie ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Warisan Bahagian Kota Belud di Kota Belud.
Mohd Shafie ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Warisan Bahagian Kota Belud di Kota Belud.
A
A
A

KOTA BELUD - Presiden Parti Warisan (Warisan), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berpandangan perlu adanya penambahbaikan dalam kandungan Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) (No. 3) 2022 dan Peruntukan Larangan Ahli Parlimen Bertukar Parti yang diluluskan pada Khamis lalu.

Mohd Shafie berkata, kandungan dalam RUU itu tidak begitu jelas dan ia perlu ditambah baik bagi mengelak kejadian lompat parti berulang.

"Saya lihat dari segi kandungan RUU perlu penambahbaikannya kerana ada dalam kandungan itu tidak begitu jelas dan tidak berapa 'primitif nature' untuk elakkan supaya kejadian lompat-melompat akan berulang tetapi perlu ada titik permulaan.

"Masih lagi perlu ada penambahbaikannya, walaupun RUU ini sudah diluluskan di dewan dan saya berharap tidak setakat itu.

"Saya sudah nyatakan dengan rakan lain yang merupakan presiden parti gabungan sama ada DAP, Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN) laksanakan di mana mereka memerintah," katanya selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Warisan Bahagian Kota Belud di sini pada Sabtu.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditanya mengenai kandungan RUU Anti Lompat Parti yang diluluskan di Dewan Rakyat pada Khamis lalu.

Menurut Mohd Shafie, selaras dengan RUU Anti Lompat Parti yang diluluskan itu juga Warisan akan melaksanakan pindaan perlembagaan pada bulan hadapan.

"Bulan hadapan kita akan tunaikan, bukan hanya menerusi kerajaan tetapi Parti Warisan. Kita akan ubah perlembagaan dengan segera dan saya sudah minta Setiausaha Agung dan Timbalan Presiden, Datuk Darell Leiking supaya perhalusi kandungan itu.

"Apa yang termaktub dalam perubahan perlembagaan Parlimen akan dapat selari dengan perjuangan parti kita," katanya.

Tambah beliau, RUU itu juga perlu dibawa ke peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi tujuan yang sama supaya Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) tidak beralih sokongan dan seterusnya menyebabkan berlakunya perubahan pimpinan kerajaan.

"Semestinya (bawa RUU ke DUN Sabah) kerana di sini juga berlaku yang banyak lompat ini di peringkat DUN. Perubahan kerajaan berlaku di situ," tegasnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!