Ambil tindakan segera terhadap kolam takungan musang king
Penasihat Sahabat Alam Sik, Mohd Sobri Ramlee, kolam takungan yang berisiko tinggi untuk pecah itu perlu diatasi segera demi keselamatan nyawa dan harta benda penduduk.
Mohd Sobri berkata, takungan-takungan air akan pecah pada bila-bila masa disebabkan laluan airnya telah ada dan kelajuannya menjadi lebih tinggi serta amat membahayakan.
"Kami yang merupakan badan bukan kerajaan (NGO) mendesak kerajaan negeri mengeluarkan status terkini yang sah berkaitan projek musang king.
“Berapa keluasan tanaman telah ditanam dan laporan lengkap berkaitan kolam-kolam tadahan yang dibina oleh penggerak projek musang king, yang mana adakah ia dibina mengikut piawaian yang dibenarkan,” katanya pada Sabtu.
Tambah beliau, Sahabat Alam Sik juga ingin mengetahui status Gunung Inas sama ada ladang hutan mengikut kriteria dibenarkan dan diselenggara dengan baik dan berjadual.
"Pihak kami tertanya-tanya sama ada Jabatan Alam Sekitar melakukan pemantauan secara berkala kolam-kolam yang dibina dan perkara berkaitan," katanya.
Dalam perkembangan sama, Jabatan Perhutanan diharapkan mengeluarkan status kawasan yang telah dan yang akan ditanam durian musang king.
“Berdasarkan maklumat penduduk, ada batu-batu di lerang-lereng bukit telah bergolek turun, jadi laporan diperlukan mengenai cerun-cerun yang dibina itu sekiranya ia mengikut kecerunan seperti yang diarahkan ataupun tidak,” katanya.
Beliau memaklumkan, NGO terlibat mahu laporan rasmi mengenai perkara-perkara tersebut segera memandangkan kini hanya mengikuti laporan yang dibentangkan di Parlimen.
Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan penduduk Kampung Iboi, Kupang di sini mendesak agar kolam takungan projek durian musang king di Gunung Inas dihentikan segera kerana khuatir tragedi kepala air berulang.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!