Berang dihon, lelaki pecahkan cermin kereta guna pisau

Tular di media sosial video yang menunjukkan suspek telah bertindak menyekat mangsa dan kemudian memecahkan cermin tingkap kereta. Gambar kecil: Muhamad Zaki Harun
Tular di media sosial video yang menunjukkan suspek telah bertindak menyekat mangsa dan kemudian memecahkan cermin tingkap kereta. Gambar kecil: Muhamad Zaki Harun
A
A
A

KOTA BHARU - Seorang lelaki yang berang dihon ketika memandu bertindak luar kawal dengan menahan dan memecahkan cermin sebuah kereta dalam kejadian di simpang empat, Limbat di sini pada Khamis.

Pemangku Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, kejadian jam 5.45 petang itu berlaku ketika mangsa yang merupakan wanita berusia 35 tahun memandu berseorangan kereta jenis Perodua Axia telah dihimpit oleh suspek yang memandu kereta jenis Toyota Vios.

"Suspek yang berusia 45 tahun dan bekerja sebagai buruh itu kemudiannya, secara tiba-tiba telah bertindak menghalang laluan mangsa dengan berhenti di tengah jalan.

"Suspek kemudian menghampiri kereta mangsa yang bekerja sebagai pembantu akaun lalu memecahkan cermin kereta miliknya. Selain itu suspek turut mengugut mangsa," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Sabtu.

Menurutnya, siasatan awal mendapati mangsa memandu secara berseorangan dalam perjalanan pulang ke rumah ibu bapanya di Kampung Kubang Rawa, di sini.

Beliau berkata, mangsa bertindak membunyikan hon selepas melihat suspek memandu secara merbahaya.

Muhamad Zaki berkata, mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan dan hasil semakan suspek yang berasal dari Nilam Puri itu mempunyai tujuh rekod lampau.

"Susulan itu, serbuan dilakukan ke rumah suspek, namun lelaki berkenaan dipercayai telah menghilangkan diri.

"Usaha memburu suspek sedang giat dijalankan bagi membantu sisatan berhubung insiden ini," katanya.

Sebelum itu tular di media sosial video yang menunjukkan suspek telah bertindak menyekat mangsa dan kemudian memecahkan cermin tingkap kereta.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!