Tiga individu disyaki dera kanak-kanak ditahan

No Image Caption
A
A
A

JEMPOL - Polis sudah menahan tiga individu yang dikehendaki bagi membantu siasatan berhubung kes penderaan seorang kanak-kanak berusia lima tahun pada Sabtu.

Ketua Polis Daerah Jempol, Superintendan Hoo Chang Hook berkata, seorang lelaki dan dua wanita yang ditahan itu merupakan bapa, ibu saudara serta sepupu mangsa.

Menurutnya, kesemua suspek masing-masing berusia 41 tahun, 42 tahun dan 21 tahun itu ditahan di sebuah rumah di Taman Seri Mahsan di sini pada jam 11.30 pagi.

"Berdasarkan siasatan awal, lelaki terbabit mempunyai dua rekod jenayah lampau dan satu kes dadah.

"Polis akan membuat permohonan reman terhadap kesemua mereka di mahkamah pada Ahad untuk disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Sebelum ini Sinar Harian melaporkan polis sedang mengesan tiga individu bagi membantu siasatan berhubung kes penderaan seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun.

Kejadian penderaan ini dipercayai bermula pada 26 Mei lepas sehingga mangsa diselamatkan oleh ibu saudaranya sebelum ibunya membuat laporan polis pada Rabu lalu.

Menurut Chang Hook, mangsa dijaga oleh suspek dengan upah sebanyak RM300 sebulan berikutan ibunya bekerja di Johor.

"Hasil siasatan mendapati mangsa telah didera berikutan terdapat kesan melecur, lebam, luka, parut dan kecederaan yang lain pada keseluruhan badan.

"Mangsa kini dirawat di Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN), Kuala Pilah dan telah dirujuk kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) daerah Jempol," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!