Shahril Hamdan jawab tuduhan Dr Mahathir

Shahril Sufian
Shahril Sufian
A
A
A

SHAH ALAM - Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan tampil menjawab tuduhan dan dakwaan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang menyerang kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) baru-baru ini.

Menerusi video yang dimuat naik di Facebooknya, Shahril Sufian berkata, pihaknya memahami apabila Dr Mahathir bercerita tentang duit yang hilang, ia adalah mengenai 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

“Betul, duit dan dana telah hilang. Tetapi, proses mendapatkan semula dana tersebut sedang berjalan. Setakat 30 Jun, hampir RM20 bilion sudah diperoleh semula dan sekitar RM10 bilion telah diguna untuk membayar hutang 1MDB.

“Sama ada kerajaan sekarang atau yang lepas termasuk kerajaan pimpinan Tun tetap komited memperoleh semula segala dana yang diseleweng.

“Dan dari segi liabiliti jenayah, Tun sebagai orang yang berpengalaman tahu bahawa perkara ini adalah perkara yang akan ditentukan oleh mahkamah dan sedang berlangsung,” katanya pada Sabtu.

Jelas Shahril, tidak adil untuk merumuskan segala tindakan dibuat kerajaan BN yang lalu hanya 1MDB khususnya tentang pinjaman.

“Betul kerajaan BN meminjam tetapi meminjam untuk projek dan perbelanjaan sebenar. Projek sebenar seperti Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR), Transit Aliran Massa (MRT) dan projek pemangkin besar yang baik untuk pertumbuhan pekerjaan.

“Tidak ada masalah untuk mengkritik skala projek-projek ini. Mungkin Tun merasakan bahawa beberapa perkara terlalu mahal tetapi kenapa Tun menghina projek ini? Kenapa Tun melewatkannya? Kenapa Tun batalkannya dan menyebabkan pelabur keluar dari Malaysia.

“Bukan saya sahaja yang bercakap tentang ini. Mengikut Bloomberg, pengurangan, penurunan skala, pembatalan beberapa projek infrastruktur mega dan pengurangan perbelanjaan kerajaan telah mengurangkan anggaran pendapatan dan menjejaskan sentimen pelabur,” katanya.

Jelas beliau, anggaran pendapatan hadapan Bursa Malaysia bagi 12 bulan telah jatuh sebanyak 12 peratus antara PRU14 dan November 2019.

“Dalam masa yang sama, syarikat pelabur global mengeluarkan RM8 bilion dari pasaran ekuiti tempatan. Ini adalah pengeluaran dana terbesar dari pasaran ekuiti di antara negara Asia yang membangun,” ujarnya.

Sebelum ini menerusi bebenang di Twitter, Dr Mahathir menyalahkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kerana menyebabkan ekonomi Malaysia semakin ketinggalan berbanding negara jiran.

Dr Mahathir mendakwa, bekas Perdana Menteri keenam itu telah menyalahkan orang lain atas situasi ekonomi yang beliau sendiri cipta.

"Ya, negara ini ketinggalan di belakang jiran-jiran. Betul, tetapi ia disebabkan oleh rasuah yang diamalkan kerajaan Najib. Ia disebabkan oleh sejumlah besar wang yang dipinjamnya yang kini telah hilang.

"Ia berikutan projek-projek yang dimulakannya bukan sahaja terlalu mahal tetapi memihak kepada pihak-pihak lain dan projek-projek itu tidak banyak memberi manfaat kepada negara.

"Tentu saja kerana perlu membayar untuk menyelesaikan hutang besar yang ditanggung olehnya, tiada lagi wang untuk membangunkan negara," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!