Hospital Rembau dibuka Jun ini

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad (kanan) mengadakan sidang media sempena Sesi Townhall bersama Industri Farmaseutikal di Kementerian Kesihatan hari ini.- Foto Bernama
Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad (kanan) mengadakan sidang media sempena Sesi Townhall bersama Industri Farmaseutikal di Kementerian Kesihatan hari ini.- Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Hospital Rembau di Negeri Sembilan dengan kos RM104 juta akan dibuka bagi memberi perkhidmatan kesihatan mulai Jun depan, kata Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

Hospital dengan kapasiti 76 katil, yang mula dibina pada September 2013, merupakan kluster kepada Hospital Tuanku Ja’afar, Seremban dan pakar-pakar perubatan dari hospital berkenaan akan ditugaskan secara berkala di Hospital Rembau untuk rawatan tertentu, katanya.

“Pembukaan hospital ini akan memberikan nilai tambah kepada penduduk setempat dalam mendapatkan perkhidmatan kesihatan yang terbaik,” katanya, sambil menambah Hospital Rembau itu kini sudah mencapai tahap 90 peratus siap.

Pengoperasian Hospital Rembau yang sepatutnya dibuka pada September 2016 menjadi antara isu hangat yang dibangkitkan calon pada kempen PRK DUN Rantau yang sedang berlangsung.

Bercakap dalam sidang media selepas pertemuan dengan penggiat industri farmaseutikal di sini hari ini, Dzulkefly berkata cadangan projek klinik kesihatan gantian jenis kelas tiga di Rantau dan Bandar Baru Sendayan, Negeri Sembilan telah diterima dan ia melibatkan kos pembinaan sebanyak RM35 juta setiap satu.

Klinik kesihatan gantian itu bakal dilengkapi kemudahan kuarters dan mampu memberi perkhidmatan sokongan dan klinikal kepada kira-kira 800 pesakit sehari, katanya. Dalam perkembangan lain, Dzulkefly berkata, kementerian itu sedang melakukan perincian terhadap beberapa mekanisme sebelum mengumumkan satu mekanisme khusus bagi melaksanakan kawalan harga ke atas ubat-ubatan dalam pasaran.

Antara perkara yang perlu diberi tumpuan ialah berkaitan rantaian bekalan serta peranan yang boleh dilakukan pemain industri farmaseutikal selepas mekanisme tersebut diumumkan sebelum akhir tahun ini, katanya.

"Kementerian tidak perlu terburu-buru dalam membuat keputusan untuk memastikan hanya mekanisme yang terbaik diangkat untuk dilaksanakan kelak," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sebelum ini, Dzulkefly dilaporkan berkata kertas kerja bagi mekanisme pelaksanaan penyelarasan kawalan harga ubat-ubatan di seluruh Malaysia sedang dijalankan bagi mengawal kos.

Ia dibuat dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna mengikut Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 dan garis panduan Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO). - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!