Jadikan 1 Muharam, Hari Peradaban Bangsa Melayu: Pembela

Tiupan tetuang pada majlis perasmian Hari Peradaban Bangsa Melayu pada Sabtu.
Tiupan tetuang pada majlis perasmian Hari Peradaban Bangsa Melayu pada Sabtu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (Pembela) meminta kerajaan iktiraf 1 Muharam sebagai Hari Peradaban Bangsa Melayu.

Pengerusi Pembela, Aminuddin Yahaya berkata, pihaknya turut memohon kerajaan menyediakan bangunan khusus bagi kegunaan mengumpulkan khazanah Melayu.

Menurutnya, Pembela bersama badan gabungan badan bukan kerajaan (NGO) lain berhasrat menjadikan Hari Peradaban Bangsa Melayu yang diadakan di padang KLFA, Taman Melati pada Sabtu itu sebagai salah satu tarikan pelancong dalam dan luar negara.

Ikrar bangsa Melayu dibaca orang ramai yang hadir pada Hari Peradaban Bangsa Melayu.
Ikrar bangsa Melayu dibaca orang ramai yang hadir pada Hari Peradaban Bangsa Melayu.

"Kita ada mohon Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia, Datuk Seri Nancy Shukri hadir tapi beliau ada komitmen lain. Konsep peradaban ini membawa gabungan kebudayaan dan agama, tanpa elemen ini negara boleh jadi pincang.

"Sambutan program adalah menggalakkan. Ini memberi isyarat rakyat rindukan suasana kebudayaan dan kesenian kita diangkat sebagai satu peradaban yang tinggi. Pada ketika ini, ia seolah telah dilupai," katanya selepas menyempurnakan gimik perasmian Hari Peradaban Bangsa Melayu pada Sabtu.

Gimik perasmian disempurnakan dengan tiupan tiupan tetuang, disusuli pukulan gong dan ikrar bangsa Melayu.

Kira-kira 5,000 oranghadiri program tersebut antaranya Pengarah dan Penerbit Filem, Datuk Yusof Haslam; pelakon A Galak serta Presiden Independent & Sovereign Nation State of Hawaii, Pu'uhonua D. K. B. Kanahele.

Aminuddin menangkis dakwaan pihak luar mengatakan program yang dianjurkan itu sebagai cubaan mencipta sempadan antara orang Melayu dengan kaum-kaum lain.

Yusof Haslam (dua dari kiri) bersama A Galak hadir pada Hari Peradaban Bangsa Melayu yang berlangsung di padang KLFA Taman Melati pada Sabtu.
Yusof Haslam (dua dari kiri) bersama A Galak hadir pada Hari Peradaban Bangsa Melayu yang berlangsung di padang KLFA Taman Melati pada Sabtu.

"Dakwaan itu tidak benar, kalau dilihat acara diadakan pada hari ini seperti permainan gasing, congkak, memanah dan lain-lain. Tidak ada satu perkataan yang sentuh isu agama atau bina sempadan dengan kaum lain.

"Malah kita ajak kaum lain untuk hadir dan memahami budaya dan kesenian orang Melayu. Itu pendekatan kita," katanya.

Tambahnya, dakwaan mengatakan program seperti itu sudah tidak relevan kerana orang Melayu yang sudah tidak melihat acara kebudayaan sebagai satu perkara penting juga tidak benar.

"Hari ini dengan jumlah pengunjung yang ramai membuktikan program seperti ini sangat penting dan dekat dihati rakyat terutama orang Melayu.

"Kita akan teruskan kempen dan membawa konsep peradaban ini ke seluruh Malaysia serta akan mengadakan program sama pada tahun hadapan," katanya.

Aminuddin (tiga dari kanan) bersama barisan urus setia Hari Peradaban Bangsa Melayu pada sidang akhbar pada Sabtu.
Aminuddin (tiga dari kanan) bersama barisan urus setia Hari Peradaban Bangsa Melayu pada sidang akhbar pada Sabtu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!