PNB sasarkan 150,000 pelawat MSAM 2019

PNB
PNB
A
A
A

PERMODALAN Nasional Bhd (PNB) berharap untuk menarik 150,000 pelawat untuk Minggu Unit Amanah Malaysia 2019 (MSAM) Edisi ke-20 yang akan diadakan di Sungai Petani, Kedah pada 19-25 April depan.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Abdul Rahman Ahmad berkata, MSAM adalah acara unit amanah perdana yang dianjurkan secara tahunan oleh PNB yang bertujuan untuk meningkatkan tahap celik kewangan di kalangan rakyat Malaysia dan telah menarik kira-kira 3.8 juta pengunjung sejak penubuhannya pada 2000.

"Acara itu bergerak antara negeri ke negeri dan sejak kebelakangan ini, ia telah berpindah ke bandar-bandar sekunder selepas penyampaiannya meliputi semua ibu-ibu negeri selesai," katanya kepada pemberita pada pelancaran MSAM 2019 di sini hari ini.

Pada tahun lepas, ia telah berlangsung di Batu Pahat, Johor dan telah menarik pengunjung seramai lebih 216,800 orang.

Beliau berkata, MSAM 2019 kali ini telah dianjurkan secara usaha sama dengan Kerajaan Negeri Kedah dan lokasi Sungai Petani telah dicadangkan oleh Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

"Terdapat satu juta pemegang unit (Amanah Saham) di Kedah yang melanggan sejumlah 13.5 bilion unit," katanya.

Sempena MSAM tahun ini, PNB juga memperkenalkan logo MSAM yang baharu, mencerminkan kerjasama rapat antara kerajaan, pemegang-pemegang unit dan PNB.

MSAM 2019 akan menyediakan pelbagai platform serta aktiviti untuk para pengunjung menerokai dan memahami perjalanan pelaburan mereka.

Artikel Berkaitan:

"Terdapat juga pameran membabitkan semua syarikat-syarikat strategik PNB, di mana orang ramai boleh melihat kekuatan syarikat-syarikat pelaburan yang mereka buat melalui pemegangan unit amanah mereka dengan Amanah Saham Nasional Bhd."

“Kami berharap melalui usaha ini, pemegang-pemegang unit serta masyarakat secara am, akan dapat meningkatkan kesedaran tentang hubung kait antara risiko dan pulangan," katanya lagi.

Abdul Rahman berkata, MSAM 2019 ini dipenuhi dengan aktiviti-aktiviti yang sesuai bagi semua peringkat umur dan menawarkan pelbagai hadiah menarik untuk dimenangi, seperti Perodua Aruz, motorsikal Honda Dash dan iPhone.

"Mereka yang menyertai “e-Peraduan” berpeluang memenangi sebuah Ford Ranger 2.2 XLT, sebuah Toyota Vios 1.5 G atau motosikal Yamaha R25," katanya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!