Ahmad Faizal ucap tahniah kejayaan Mohamad Aniq

Mohamad Aniq menyumbang emas pertama negara selepas berjaya mengalahkan atlet dari India dan Sri Langka dengan mata 249kg. - Foto Bernama
Mohamad Aniq menyumbang emas pertama negara selepas berjaya mengalahkan atlet dari India dan Sri Langka dengan mata 249kg. - Foto Bernama
A
A
A

MENTERI Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu mengucapkan tahniah kepada badang negara Mohamad Aniq Kasdan atas kejayaannya menyumbang pingat emas pertama negara di Sukan Komanwel Birmingham 2022.

Beliau berkata, kejayaan tersebut amat istimewa selepas dua hari kontinjen negara tidak menjelmakan kilauan pingat pada temasya yang berlangsung bermula Khamis lepas hingga 8 Ogos ini.

"Alhamdullilah emas pingat sulung negara di #Birmingham2022. Syabas buat (Mohamad) Aniq Kasdan. Terima kasih untuk kudrat selama ini #DemiMalaysia.

"Kejayaan ini lebih manis apabila Mohamad Aniq juga berjaya memecahkan rekod Komanwel bagi kategori lelaki dengan angkatan keseluruhan 249kg! Ayuh Malaysia, kita terus berdoa untuk lebih kejayaan selepas ini!” katanya menerusi ciapan Twitter rasminya.

Tangkap layar Twitter Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu
Tangkap layar Twitter Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu

Atlet berusia 20 tahun dari Johor itu menampilkan aksi bertenaga untuk meraih tempat pertama dalam kategori 55 kilogram (kg) lelaki dengan angkatan bebanan keseluruhan 249kg (snatch 107kg, clean & jerk 142kg).

Pingat perak dimenangi atlet India Sanket Mahadev Sargar dengan angkatan keseluruhan 248kg manakala gangsa menjadi milik Dilanka Isuru Kumara Yodage dari Sri Lanka dengan angkatan 225kg.

Pada Sukan SEA Vietnam Mei lepas, Mohamad Aniq memperoleh pingat gangsa selepas membaharui rekod kebangsaannya dengan angkatan sejumlah 252kg (snatch 110kg, clean & jerk 142kg ), mengatasi rekod 249kg yang dicatatkan di Kejohanan Angkat Berat Dunia, hujung tahun lepas. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!