PM ucap tahniah kejayaan Mohamad Aniq sumbang emas pertama negara

Atlet angkat berat negara Mohamad Aniq Kasdan menunjukan pingat emas pertama negara dalam kategori 55kg pada Sukan Komanwel Birmingham 2022 di Dewan NEC 1 pada Sabtu. - Foto Bernama
Atlet angkat berat negara Mohamad Aniq Kasdan menunjukan pingat emas pertama negara dalam kategori 55kg pada Sukan Komanwel Birmingham 2022 di Dewan NEC 1 pada Sabtu. - Foto Bernama
A
A
A

[DIKEMASKINI] PERDANA Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengucapkan tahniah kepada Mohamad Aniq Kasdan atas kejayaannya menyumbangkan pingat emas pertama buat Malaysia pada Sukan Komanwel Birmingham 2022 pada Sabtu.

"Alhamdulillah, pingat emas pertama untuk kontinjen negara di Sukan Komanwel 2022! Tahniah Mohamad Aniq Kasdan yang cemerlang dengan angkatan keseluruhan 249 kilogram (kg) bagi memberi pingat pertama negara.

"Lebih manis, pencapaian Aniq ini merupakan rekod kejohanan yang baru serta penampilan pertama beliau di kejohanan terbesar dunia,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Ismail Sabri turut berharap atlet Malaysia akan terus menyumbang lebih banyak pingat buat negara.

Terdahulu, Mohamad Aniq, 20, menampilkan aksi bertenaga untuk menjelmakan emas dalam kategori 55kg lelaki dengan angkatan bebanan keseluruhan 249kg.

Atlet berasal dari Segamat, Johor itu melakukan angkatan snatch 107kg dan clean & jerk 142kg. -

Sementara itu, Ismail Sabri turut mengucapkan tahniah kepada Muhamad Aznil Bidin yang meraih pingat emas kedua untuk Malaysia menerusi acara angkat berat kategori 61kg, dengan angkatan bebanan keseluruhan 285kg sekali gus mencatat rekod baharu temasya.

Badang kelahiran Kedah itu melakukan angkatan snatch 127kg dan 158kg bagi clean & jerk.

Kejayaan tersebut juga membuktikan kehebatan atlet berusia 28 tahun itu mempertahankan gelaran yang dimenangi pada edisi 2018 di Gold Coast, Australia.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!