Lebih 20,000 pengunjung meriahkan Festival Bon Odori Pulau Pinang

Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow (tengah) mengiringi Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak (dua, kiri) pada Penang Bon Odori Festival 2022, pada Sabtu. Hadir sama Duta Besar Jepun ke Malaysia Takahashi Katsuhiko (tiga, kanan). - Foto Bernama
Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow (tengah) mengiringi Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak (dua, kiri) pada Penang Bon Odori Festival 2022, pada Sabtu. Hadir sama Duta Besar Jepun ke Malaysia Takahashi Katsuhiko (tiga, kanan). - Foto Bernama
A
A
A

GEORGE TOWN - Lebih 20,000 orang memenuhi Esplanade, Padang Kota sempena Festival Bon Odori Pulau Pinang 2022 pada Sabtu.

Kebanyakan rakyat Malaysia dan pengunjung lain yang mengalu-alukan kembali acara itu selepas tertangguh dua tahun akibat pandemik Covid-19, mengenakan busana Jepun dan menyertai tarian dengan penuh meriah.

Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata, sambutan itu dianjurkan bersama Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan pejabat Konsulat Jeneral Jepun dengan usaha bersepadu kedua-dua pihak menyumbang kepada kejayaan acara hari ini.

Beliau berkata, Bon Odori adalah festival tradisional Jepun yang disambut dengan tarian dan persembahan gendang bagi menyambut kepulangan roh nenek moyang.

"Pesta kebudayaan Jepun yang dinanti-nantikan ini diadakan setiap tahun dengan pelbagai makanan tempatan dan Jepun, pertunjukan bunga api, cenderahati Jepun, persembahan dan permainan yang meriah.

"Melihat di sebalik perayaan ini, Festival Bon Odori adalah bukti persahabatan yang telah lama terjalin antara Pulau Pinang dan Jepun, ia adalah satu majlis yang patut diraikan kerana kita memupuk hubungan yang lebih dalam dan kukuh dengan rakan sejawatan Jepun, mewujudkan lebih banyak hubungan untuk persefahaman bersama dalam era globalisasi ini,” katanya pada perasmian Festival Bon Odori Pulau Pinang di sini, pada Sabtu.

Majlis itu disempurnakan oleh Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak dan turut dihadiri Duta Besar Jepun ke Malaysia Takahashi Katsuhiko dan Konsul Jeneral Jepun di Pulau Pinang Orikasa Hiroyuki.

Sementara itu, Katsuhiko berkata Jepun amat menghargai kepelbagaian budaya dan toleransi di Malaysia yang menjadi penggerak untuk menggalakkan hubungan dua hala dalam semua aspek termasuk Festival Bon Odori ini.

Beliau berkata festival tahunan itu telah diadakan hampir setengah abad di negara ini sebagai usaha untuk mempromosi dan mengeratkan persahabatan antara Malaysia dengan Jepun.

"Saya juga berharap kita semua dapat merasai keindahan pertukaran budaya antara Malaysia dan Jepun seperti yang digambarkan dengan tarian Melayu yang baru kita hayati dan pelbagai persembahan budaya Jepun termasuk tarian Soran Bushi dan persembahan gendang Jepun oleh pelajar Sekolah Jepun Pulau Pinang selepas perasmian ini,” katanya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!