Suhaili dilantik Naib Presiden ISTAF
PRESIDEN Persekutuan Sepaktakraw Malaysia (MASTAF), Datuk Suhaili Abdul Rahman dipilih sebagai Naib Presiden Persekutuan Sepaktakraw Antarabangsa (ISTAF) pada kongres pemilihan badan induk itu di Bangkok, Thailand pada Sabtu.
Setiausaha Agung ISTAF, Datuk Abdul Halim Kader berkata, Suhaili adalah antara seorang daripada lapan individu yang turut dipilih bagi menyandang jawatan berkenaan.
“Pemilihan Suhaili secara tidak langsung membuktikan kepimpinan beliau menerajui MASTAF bersama pasukannya mendapat kepercayaan untuk membantu pembangunan sepak takraw Malaysia dan antarabangsa.
"Saya yakin kepimpinan MASTAF akan terus menyinar selepas diberi kepercayaan menjadi tuan rumah Kejohanan Sepaktakraw Dunia Bawah 21 tahun yang akan dianjurkan pada Jun 2023, sama ada di Kuala Lumpur atau Sabah," katanya pada Sabtu.
Sementara itu, Jeneral Dr Charouck Arirachakaran dari Thailand mengekalkan jawatan Presiden ISTAF untuk penggal 2022/2026 selepas mengalahkan pencabar dari Filipina, Karen Claire T. Caballero dengan 32 undian.
Boonchai Lorhpipat (Thailand) dan Gum Yeon Goo (Korea Selatan) pula menggalas tanggungjawab timbalan presiden selepas masing-masing menang tanpa bertanding.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!