Percikan bunga api warnai kemeriahan perasmian APG

Persembahan bunga api pada Majlis Perasmian Sukan Para ASEAN Solo 2022 di Stadium Menahan hari ini. - Foto Bernama
Persembahan bunga api pada Majlis Perasmian Sukan Para ASEAN Solo 2022 di Stadium Menahan hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

INDONESIA mengalu-alukan penyertaan 1,200 atlet dengan percikan bunga api, persembahan wayang kulit dan muzikal apabila menampilkan upacara perasmian menakjubkan sempena Sukan Para ASEAN (APG) ke-11, di sini, malam ini.

Seramai 10,000 penonton di Stadium Manahan terpukau dengan acara perasmian mega apabila disajikan persembahan tanpa di duga oleh pelawak tersohor, Dodit Mulyanto serta Gabenor Jawa Tengah, Ganjar Pranowo.

Perarakan kontinjen Malaysia, terdiri daripada 23 atlet dan tujuh pegawai, diketuai oleh Chef-de-Mission (CDM), Kolonel (B) Md Nor Azam Ariffin dan atlet lontar peluru (F55), Mohd Zikri Zakaria membawa Jalur Gemilang, menjadi negara keempat masuk ke dalam stadium.

Kontinjen negara memakai jaket berwarna kuning dan seluar trek berjalur hitam melambangkan ‘Harimau Malaya’.

Ketua Jawatankuasa Penganjur Penganjur Sukan Para ASEAN Indonessia (INASPOC), Gibran Rakabuming Raka, yang merupakan Datuk Bandar Solo dan anak lelaki sulung Presiden Joko Widodo, melakukan penampilan khas dengan menunggang kuda masuk ke stadium sebelum menyampaikan upacan perasmian.

Atlet Olahraga Para Kebangsaan Zikry Zakaria membawa Jalur Gemilang ketika mengetuai perbarisan kontinjen Malaysia pada Majlis Perasmian Sukan Para ASEAN Solo 2022 di Stadium Menahan hari ini. - Foto Bernama
Atlet Olahraga Para Kebangsaan Zikry Zakaria membawa Jalur Gemilang ketika mengetuai perbarisan kontinjen Malaysia pada Majlis Perasmian Sukan Para ASEAN Solo 2022 di Stadium Menahan hari ini. - Foto Bernama

Naib Presiden Indonesia, Ma'ruf Amin, kemudian merasmikan temasya itu, menandakan saingan selama seminggu itu bermula dengan penyertaan 11 negara.

Sebaik sahaja penembak Paralimpik, Hanik Puji Hastuti menyalakan kawah api temasya sukan itu, penonton di stadium serba guna berkapasiti 20,000 itu disajikan dengan persembahan bunga api menyinari langit sekitar stadium disusuli dengan acara kemuncak oleh persembahan penyanyi popular, Nella Kharisma.

Cabaran Malaysia akan disandang oleh 70 atlet dalam 11 sukan -- badminton, boccia, bola tampar duduk, catur, goalball, ping pong, olahraga, memanah. renang, powerlifting dan tenis berkerusi roda, manakala tiada wakil negara dalam acara judo, bola sepak tujuh sebelah dan bola keranjang kerusi roda.

Antara wakil utama negara di sini ialah empat pemenang emas Sukan Paralimpik, -- Muhammad Ziyad Zolkefli (lontar peluru t F20), Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi (100m T36), Abdul Latif Romly (lompat jauh T20) dan pemain badminton, Cheah Liek Hou.

Malaysia menyasarkan sekurang-kurangnya 16 pingat emas selepas muncul naib juara dengan 90 emas, 85 perak dan 83 gangsa apabila Malaysia menjadi tuan rumah pada edisi lalu pada 2017 di Kuala Lumpur.

Edisi 2019 di Filipina pada mulanya ditangguhkan atas sebab kewangan sebelum dibatalkan kerana pandemik COVID-19, manakala tuan rumah 2021 Vietnam turut membatalkan temasya itu atas alasan pandemik.

Bagaimanapun, Indonesia tampil sebagai tuan rumah hanya beberapa bulan kebelakangan ini untuk menyelamatkan APG dan ini adalah kali kedua Indonesia tuan rumah selepas edisi 2011 yang turut diadakan di Solo. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!