Laporan berita membentuk pemikiran rakyat
SHAH ALAM - Penyaluran berita sahih dan berkredibiliti oleh media arus perdana seperti Sinar Harian sangat penting untuk membina pemikiran rakyat yang mampu mendukung kemajuan sosial, politik dan ekonomi negara.
Penganalisis Ekonomi dari Putra Business School, Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, untuk tujuan itu, rakyat memerlukan kepada laporan berita yang objektif dan membantu pembaca melihat sesuatu isu daripada sudut pandang lebih luas.
“Jadi di sini, kita lihat Sinar Harian berjaya mengamalkan sikap objektiviti yang tinggi melalui laporan dan liputan berita yang dihasilkan tanpa cenderung kepada mana-mana pihak.
“Peranan Sinar Harian dalam membentuk kematangan rakyat dalam berfikir secara kritis juga sememangnya tidak dapat dinafikan.
“Ini sekali gus membolehkan pembaca melihat sesuatu perkara dari sudut perspektif yang luas,” katanya.
Ahmed Razman berkata, keperluan kepada berita yang sahih dan objektif menjadi lebih penting ketika ini dalam era kemajuan teknologi digital termasuk di platform media sosial yang menyaksikan lambakan maklumat di hujung jari.
“Jadi, faktor kesahihan dan kredibiliti informasi merupakan aspek integral dalam penyampaian berita oleh media arus perdana seperti Sinar Harian,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!