Birmingham 2022: Dua wakil boling padang ke suku akhir

Siti Zalina Ahmad mara dalam kelompok lapan terbaik dalam acara singles (perseorangan) wanita.- Foto Bernama
Siti Zalina Ahmad mara dalam kelompok lapan terbaik dalam acara singles (perseorangan) wanita.- Foto Bernama
A
A
A

DUA wakil negara mengesahkan slot ke suku akhir dalam dua situasi berbeza acara boling padang pada Sukan Komanwel Birmingham 2022 di Victoria Park, Leamington Spa, Birmingham pada Sabtu.

Atlet berpengalaman, Siti Zalina Ahmad mara dalam kelompok lapan terbaik dalam acara singles (perseorangan) wanita selepas mencatat kemenangan ketiga berturut-turut.

Atlet berusia 43 tahun itu menewaskan wakil Singapura, Shermeen Lim, 21-17, akan melengkapkan aksi peringkat kumpulan berdepan, Katelyn Inch dari New Zealand, bagi menentukan juara kumpulan.

Sebagai rekod, Siti Zalina muncul pemenang pingat emas acara perseorangan pada edisi di Melbourne, Australia, pada 2006.

Beliau juga pernah bertanding pada edisi 2002 di Manchester dan New Delhi 2010.

Siti Zalina, yang mengungguli acara berpasangan bersama Emma Firyana Saroji, pada edisi 2018 di Gold Coast, Australia, juga akan turun mempertahankan pingat emas pada temasya kali ini.

Sementara itu, pasukan lelaki negara boleh menarik nafas lega apabila berjaya mara ke suku akhir walaupun tumpas kepada Afrika Selatan, 12-17, dalam acara triples (bertiga) pagi tadi.

Biarpun Malaysia dan Afrika Selatan masing-masing mencatat satu kemenangan, skuad negara dibarisi Izzat Shameer Dzulkeple, Mohammad Syamil Syazwan Ramli dan Muhammad Soufi Rusli, melangkah ke suku akhir berdasarkan perbezaan mata untuk menduduki tempat kedua di belakang England.

Mengulas aksi suku akhir esok, pengurus pasukan negara, Syed Zainal Abidin Syed Zin, berharap pemain negara dapat terus mempamerkan persembahan terbaik pada perlawanan itu.

"Prestasi kesemua pasukan dilihat seimbang. Jika pemain kita berada di prestasi terbaik selain ada tuah, mereka boleh melangkah ke peringkat seterusnya," katanya.- Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!