KKM perlu jelas isu penguatkuasaan RUU kawalan tembakau

Laporan Sinar Harian
Laporan Sinar Harian
A
A
A

LANGKAH kerajaan untuk mewujudkan generasi penamat (GEG) dengan pembentangan Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Tembakau dan Merokok 2022 di Parlimen merupakan satu langkah yang terpuji.

Ini kerana selain membahayakan kesihatan, kesan kepada penggunaan tembakau dan rokok termasuk melalui peranti merokok memberkan bebanan kewangan kepada kerajaan untuk menyediakan rawatan terhadap individu yang menghidapi penyakit akibat pengambilan bahan tersebut.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar pada Rabu lalu telah membentangkan RUU itu untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat yang mengandungi antara lain peruntukan larangan individu yang lahir pada 1 Januari 2007 dan seterusnya membeli, merokok dan memiliki produk tembakau atau peranti merokok.

Susulan daripada itu, tanpa menafikan kebaikan bakal dirasai akibat pelaksanaan langkah itu, beberapa pihak tampil membangkitkan beberapa persoalan khususnya membabitkan aspek penguatkuasaan RUU terbabit.

Pada Sabtu, Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Hal Ehwal Wanita dan Kanak-Kanak dan Pembangunan Sosial (JKPK) Parlimen, Datuk Seri Azalina Othman Said melahirkan kekhuatiran berhubung fasal mengenai penguatkuasaan RUU itu yang mungkin membuka ruang kepada kepada penyalahgunaan dan salah tafsir serta hukuman yang tidak setimpal dengan kesalahan.

Azalina berkata, pihaknya juga berhadap agar ia dberi peluang untuk menilai sama ada larangan, liabiliti serta penguatkuasaan RUU dibentangkan di Parlimen itu selaras dengan Konvensyen Hak Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang diratifikasi Malaysia pada 1995.

Beliau menjelaskan bahawa antara kebimbangan JKPK adalah berhubung fasal 24, yang memberi kuasa kepada menteri untuk melantik mana-mana individu untuk menjadi pegawai dalam penguatkuasaan akta berkenaan.

Selain itu, turut ditekankan oleh JKPK adalah mengenai skop kuasa pegawai yang diberi kuasa menyiasat, memasuki premis, mengambil sampel, memberhentikan, menggeledah dan menyita dengan atau tanpa waran dan sebagainya, seperti yang diperuntukkan di bawah fasal 24, fasal 26, fasal 27, fasal 28, fasal 32 dan fasal 33.

Sementara itu, Khairy pada Sabtu memberi jaminan akan menubuhkan jawatankuasa bebas untuk mengkaji RUU, sebelum dikuatkuasakan pada 2025, walaupun penilaian mandatori tidak diperuntukkan dalam undang-undang berkenaan.

Katanya, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan memberi lindung jamin di Dewan Rakyat nanti bahawa jawatankuasa itu akan mengkaji keberkesanan undang-undang terbabit.

Jelas Khairy, kajian berhubung keberkesanan RUU itu turut akan dilaksanakan jawatankuasa bebas terbabit selepas tempoh 10 tahun undang-undang berkenaan dikuatkuasakan dengan laporannya dibentangkan di Parlimen.

KKM dijangka membentangkan RUU itu untuk bacaan kali kedua dalam persidangan Dewan Rakyat pada minggu depan.

Justeru, diharapkan ia dapat menjadi ruang untuk membolehkan KKM menjelaskan berhubung isu berbangkit membabitkan RUU itu bagi membolehkan ia mendapat sokongan padu bukan sahaja dari kesemua ahli Parlimen tetapi juga rakyat.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!