AUG 2022: Olahraga terbang tinggi bawa pulang 11 emas

Queenie Ting Kung Ni - Gambar fail Bernama
Queenie Ting Kung Ni - Gambar fail Bernama
A
A
A

SKUAD olahraga negara mengakhiri saingan di balapan dengan dua lagi kilauan pingat emas dijelmakan pada Sukan Universiti ASEAN (AUG) 2022, pada Sabtu.

Kilauan pingat itu terhasil menerusi Queenie Ting Kung Ni bagi acara lempar cakera wanita dan R.Kirthana dalam acara lompat tinggi wanita pada aksi berlangsung di kampus Ban Yang Noi.

Queenie membuat lemparan sejauh 49.44 meter (m) bagi memastikan emas ke-10 menjadi milik kem olahraga mengetepikan cabaran rakan senegara, Nur Atiqah Sufiah Hanizam.

"Saya gembira dengan kemenangan ini walaupun lontaran dibuat tidak seperti yang disasarkan jurulatih iaitu 51m, sebenarnya keadaan saya tidak begitu baik kerana selepas sampai di Thailand saya mengalami demam, namun itu bukan alasan untuk tidak buat yang terbaik," katanya.

Sementara Kirthana yang membuat penampilan keduanya di pentas AUG pula menyumbang emas ke-11 apabila lompatan dengan tahap ketinggian 1.54m dilakukan tidak mampu dicabar rakan senegara Ng Yu Ji.

Enam pingat perak dan dua gangsa dalam pada itu turut disumbang pada hari terakhir saingan sukan olahraga sebagai bekalan sebelum pulang ke tanah air.

Keputusan tersebut menjadikan kem olahraga berada di kelasnya tersendiri apabila cemerlang membawa pulang 11 emas sepanjang saingan berlangsung sekali gus melepasi sasaran tujuh pingat emas ditetapkan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).

Pengurus pasukan olahraga Malaysia di AUG, Malik Tobias berkata, ia antara pencapaian terbaik pernah dilakukan pada penyertaan temasya itu.

"Alhamdulillah semua atlet memberikan aksi yang terbaik pada edisi kali ini untuk kem olahraga melepasi sasaran tujuh emas yang ditetapkan.

"Jadi kita capai 11 emas, itu satu pencapaian yang sangat baik dan saya fikir ini adalah hasil daripada semua pihak termasuk pihak pengurusan, jurulatih dan juga atlet itu sendiri yang memberi fokus pertandingan," katanya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!