[VIDEO] Pemuda belanja orang ramai 1.2 tan durian
KOTA BHARU - Seorang pemuda belanja orang ramai 1.2 tan durian sempena ulang tahun kelahirannya ke-27 yang disambut pada Sabtu.
Murtadhatumizi Mustapha berkata, pemilihan raja buah itu bagi membolehkan orang ramai menikmati keenakan rasa disebabkan oleh harganya yang masih lagi tinggi ketika ini.
"Dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu ketika ini, saya akui masih ramai tidak mampu untuk membeli durian.
"Jadi saya fikir inilah bentuk perkongsian yang mampu memberikan kegembiraan kepada orang ramai dengan menjamu durian," katanya kepada pemberita.
Menurutnya, beliau gembira apabila kira-kira 700 pengunjung hadir ke jamuan tersebut dapat menikmati hidangan raja buah itu.
Katanya, selain itu beliau turut menyediakan hidangan pulut durian dan aiskrim kepada orang ramai yang hadir ke jamuan berkenaan.
"Walaupun penat, namun semua itu hilang apabila melihat orang ramai dapat menikmati jamuan ini dengan begitu berselera," katanya.
Murtadhatumizi yang juga tauke kedai emas berkata, dia menyasarkan untuk mengadakan jamuan ini dalam skala yang lebih besar pada masa hadapan.
Sementara itu, seorang pengunjung Azimah Ahmad, 39, berharap program ini dapat diteruskan pada masa hadapan.
Katanya, ia memberi peluang dan ruang kepada golongan kurang berkemampuan untuk menikmati keenakan rasa durian yang dimakan bersama dengan pulut.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!