Pelancong Malaysia rakam aksi seluk saku profesional
SELAMA ini bandar Paris sering kali dilabel sebagai kota cinta dan romantis.
Menara Eiffel yang berdiri gah menjadi mercu tanda negara Perancis dan sentiasa menjadi tarikan pelancong di serata dunia.
Bukan itu sahaja, Paris juga menjadi antara destinasi bulan madu pilihan bagi pasangan pengantin baharu.
Namun, di sebalik semua keindahan itu, terdapat juga cerita yang tidak enak didengar di mana ia turut terkenal dengan jenayah penyeluk saku.
Menerusi video Naufal Bakhudin yang dimuat naik di laman Facebook, dia secara tidak sengaja telah merakamkan kegiatan dua wanita berkulit putih melakukan jenayah seluk saku.
Dalam video itu, dapat dilihat dua wanita cuba membuka beg seorang wanita dan melindungi aktivitinya dengan sehelai selendang.
Ketika kejadian, Naufal dan rakannya sedang berjalan di kota Paris dan merakam menggunakan mod kamera 360 darjah.
"Tiada seorang pun di antara kami menyedari aktiviti licik mereka dari awal hingga akhir," tulisnya.
Naufal juga berharap perkongsian videonya dapat dijadikan tauladan dan menasihatkan mereka yang ingin ke negara Eropah terutamanya Paris supaya menjaga keselamatan dan lebih berhati-hati.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!