Bakal jemaah haji terkandas kemuka tuntutan sivil
BANGI - Seramai 111 individu yang terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) untuk menunaikan haji pada 7 Julai lalu memfailkan tuntutan sivil terhadap sebuah agensi pelancongan dalam masa terdekat.
Peguam yang mewakili kesemua individu berkenaan, Muhammad Nazrin Mohd Seth berkata, tuntutan itu akan dibuat di Mahkamah Tinggi selepas proses dokumentasi selesai.
"Bagi 111 jemaah yang kami wakili, ia membabitkan jumlah kerugian kira-kira RM3 juta iaitu hasil titik peluh dan simpanan mereka untuk menunaikan haji yang mana agensi berkenaan masih gagal untuk mengembalikan wang mangsa," katanya ketika sidang akhbar di pejabat peguam berkenaan di Bandar Baru Bangi di sini pada Ahad.
Menurut Muhammad Nazrin, pihaknya diarahkan oleh anak guam untuk menuntut kembali wang diserahkan kepada agensi terbabit atau ejen-ejen selepas tawaran dikemukan gagal disempurnakan.
"Ia termasuk ganti rugi lain membabitkan emosi, teladan dan perbelanjaan lain,” katanya.
Beliau berkata, pihaknya mahu menjelaskan mengenai kekeliruan masyarakat yang dimaklumkan mangsa sudah menerima kembali wang daripada agensi pelancongan terbabit selain dakwaan kononnya perbelanjaan itu digantikan dengan tawaran haji pada tahun depan.
“Secara umumnya, ramai lagi mangsa yang masih belum menerima semula wang mereka daripada agensi itu dan difahamkan hanya sebilangan kecil mendapat semula wang mereka yang dibayar oleh ejen.
“Susulan itu, ia menjadi titit tolak kepada mereka untuk menuntut semula hak mereka bagi mendapatkan wang yang diserahkan kepada agensi pelancongan berkenaan,” katanya.
Muhammad Nazrin berkata, pihaknya juga menggesa kerajaan terutama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) untuk melaksanakan kuasa seperti yang termaktub di bawah Akta Industri Pelancongan 1992.
“Siasatan boleh dilakukan oleh pihak MOTAC seperti diperuntukkan di bawah Seksyen 41 akta itu berhubung insiden ini apabila tawaran dikemukakan agensi terbabit gagal disempurnakan," katanya.
Beliau berkata, tindakan mengikut Seksyen 8 (1) (b) akta sama iaitu pembatalan lesen syarikat juga boleh diambil oleh pihak MOTAC sekiranya terdapat pelanggaran dibuat agensi berkenaan.
"Susulan itu, kami akan menulis surat kepada Ketua Setiausaha MOTAC dalam masa terdekat bagi mendapatkan penjelasan mengenai perkara ini untuk kepentingan mangsa,” katanya.
Tambah Muhammad Nazrin, pihaknya juga mendesak Polis Diraja Malaysia (PDRM) supaya membuat siasatan terperinci berhubung insiden itu termasuk laporan polis tambahan yang dibuat berkaitan pengambilan cap 10 jari mangsa oleh agensi terbabit.
“Kami dimaklumkan ada mangsa yang membuat laporan polis tambahan berkaitan pengambilan cap 10 jari mangsa kononnya pada borang permohonan visa furada yang sebenarnya tidak dibuat oleh agensi terbabit.
"Mangsa bimbang cap jari berkenaan disalah guna termasuk pemalsuan identiti,” katanya.
Katanya, ada juga watak utama dalam insiden terbabit yang belum dipanggil termasuk ejen yang menggunakan nama Yang di-Pertuan Agong untuk menjerat mangsa.
"Kami juga dimaklumkan ada ejen yang menggunakan nama Agong dengan mendakwa kononnya mereka menggunakan kuota khas daripada Seri Paduka Baginda.
“Kita berharap pihak polis boleh menjalankan siasatan secara terperinci supaya permasalahan ini tidak berulang pada masa hadapan,” katanya.
Pada 8 Julai lalu, media melaporkan kira-kira 380 bakal jemaah haji dilaporkan terkandas di KLIA dipercayai menjadi mangsa penipuan sebuah agensi pelancongan swasta.
Mereka yang berkumpul di Aras 5, Balai Pelepasan KLIA dipercayai menggunakan visa furada untuk menunaikan haji dan tidak melalui Lembaga Tabung Haji (TH).
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!