'MN Plus sudah berlalu selepas PN wujud'

Mahdzir berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Pembangunan Luar Bandar di Dewan Kejora Bandar Penawar hari ini. - Foto Bernama
Mahdzir berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Pembangunan Luar Bandar di Dewan Kejora Bandar Penawar hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

KOTA TINGGI - Cadangan untuk mewujudkan Muafakat Nasional ( MN) Plus tidak perlu diungkit kerana ia sudah lama berlalu sebaik sahaja Perikatan Nasional (PN) didaftarkan.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, perkara itu seharusnya tidak diungkit Presiden Parti Pribumi Bersatu ( Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin, kerana ia sudah lebih setahun berlalu.

"Saya fikir perkara itu sudah lepas dan sudah lebih setahun. Ketika itu memang betul ada cadangan MN Plus dengan Bersatu.

"Tetapi ia sudah lepas, sebaik sahaja PN didaftarkan. Perkara yang sudah lepas dan benda itu (MN Plus) terhenti di situ," katanya.

Beliau yang juga Menteri Pembangunan Luar Bandar berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Perhimpunan Bulanan Kementerian Pembangunan Luar Bandar di Dewan Kejora Bandar Penawar pada Ahad.

Pada Sabtu ketika majlis pelancaran Perikatan Nasional (PN) Terengganu, Muhyiddin mendakwa UMNO yang membuat keputusan menolak Bersatu dan Pas daripada menyertai MN.

Presiden PN itu yakin sekiranya kerjasama parti Melayu Islam (BN, Bersatu dan Pas) dalam MN benar-benar terjalin, kemenangan selesa lebih dua pertiga boleh dicapai pada PRU15.

Mengulas lanjut, Mahdzir yang juga Ahli Parlimen Padang Terap berkata, UMNO dan Barisan Nasional ( BN) akan bergerak solo berdepan PRU15 namun terserah kepada pucuk pimpinan untuk memutuskan jika sebaliknya yang berlaku.

"Pandangan peribadi saya, setakat ini BN dalam perkiraan PRU15 ini atas sifat solo, bagaimanapun ia terpulang kepada keputusan parti membuat keputusan muktamad.

"Kenyataan Tan Sri Muhyiddin Yassin (Pengerusi PN) itu tak perlu diungkit semula. Politik ini dinamik apabila benda sudah lepas macam itu, bila nak patah balik ini, ia lambat nak jadi," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!