'Tidak berdendam tapi saya sentiasa ingat'

Ahmad Zahid
Ahmad Zahid
A
A
A

KUALA LUMPUR - Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi tidak pernah menyimpan dendam meskipun ramai ahli parti khususnya UMNO menyentuh mengenai keperibadiannya.

Menurutnya, ini dibuktikan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor sebelum ini di mana ada beberapa calon yang menyentuh perkara peribadinya tetap dicalonkan.

“Dalam PRN Melaka, ada beberapa calon menulis dan berucap yang menyentuh perkara-perkara peribadi pun mereka jadi calon, begitu juga di Johor.

“Saya tidak ada sifat dendam. Saya sentiasa memaafkan tetapi saya sentiasa ingat,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Konvensyen Puteri Barisan Nasional (BN) di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL).

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas adakah individu yang tidak sehaluan dengannya tidak akan menjadi calon dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti.

Tambah Ahmad Zahid, UMNO dan BN juga akan menampilkan calon-calon muka baharu dalam PRU15.

Menurut Ahli Parlimen Bagan Datuk itu, pemilihan calon itu akan dibuat seperti semasa Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor sebelum ini.

“Acuan yang kita lihat di PRN Melaka dan Johor itu merupakan acuan yang terbaik. Dan kita akan lakukan yang lebih baik daripada itu, insya-ALLAH,”

Sementara itu, Ahmad Zahid juga menegaskan bahawa pihaknya tidak akan menerima ‘katak-katak’ politik.

“Kirim salam dan minta maaf banyak-banyak,” katanya.

Sebelum ini, Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) (No. 3) 2022 mengenai peruntukan larangan ahli Dewan Rakyat lompat parti diluluskan dengan undi majoriti dua pertiga ahli Dewan.

Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun berkata, seramai 209 ahli Parlimen bersetuju dan 11 ahli Parlimen tidak hadir menerusi undi belah bahagian di Dewan Rakyat.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!