Bersih pantai kutip 0.5 tan sampah dalam masa empat jam
LANGKAWI - Kesedaran menjaga kebersihan pantai dan tempat peranginan perlu dilakukan berterusan secara sukarela oleh pelbagai pihak bagi memastikan kesejahteraan penduduk, pelancong serta hidupan sama ada di darat mahupun laut.
Sehubungan itu, sekumpulan sukarelawan menganjurkan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) membersihkan persekitaran Pantai Kok, Langkawi yang merupakan antara kawasan tarikan pelancong.
Pensyarah kanan, Program Diploma dan Sarjana Muda Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Perlis, Dr Ahmad Dzulkarnain Ismail berkata, atas kesedaran untuk menjaga kebersihan pantai selain mengurangkan kos pemprosesan sampah berikutan peningkatan kos penyelenggaraan yang tinggi, pihaknya mengambil inisiatif mengadakan program ‘CSR 2.0 - Beach Cleaning’ di Pantai Kok.
“Sebanyak 0.5 tan sampah dikutip dan dikumpulkan selama empat jam program berlangsung yang disertai 10 mahasiswa dan dua warga kerja fakulti.
“Kami turut mendapat kerjasama dari Majlis Perbandaran Langkawi (MPL) dan Environment Idaman yang terlibat dalam membantu kerja-kerja pengumpulan sampah,” katanya pada Ahad.
Dalam pada itu, Ahmad Dzulkarnain yang merupakan penasihat program itu memberitahu, golongan muda seharusnya didedahkan dengan kepentingan kebersihan pantai dan tempat peranginan dalam memastikan kawasan berkenaan terpelihara daripada sebarang ancaman.
“Melihat kepada aspek kebersihan dan persekitaran kawasan pantai, kos pembersihan meningkat sekali gus memberi kesan kepada kawasan tumpuan pelancong.
“Sekiranya tidak dikawal selia dengan baik, ia akan mengakibatkan masalah pencemaran dan kesan kepada kesihatan,” ujarnya.
Menurutnya, kesedaran ini wajar dipupuk pada setiap masa kepada semua lapisan masyarakat susulan kos penyelenggaraan sampah dan sisa pepejal di Langkawi telah meningkat empat kali ganda, apabila kaedah pelupusan sampah secara manual menggunakan teknik menimbus sampah (landfill) ditambah baik kepada pelupusan menggunakan insinerator.
Dalam pada itu, Ketua Pusat Pengajian Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi, UiTM cawangan Perlis, Dr Ahmad Fikri Mohd Kassim berkata, program seumpama ini perlu diberikan perhatian dan tidak boleh dipandang ringan.
“Masalah sampah hanya akan memburukkan keadaan setempat, lebih parah lagi jika tiada kesedaran di semua peringkat untuk memelihara kebersihan tempat awam seperti pantai.
“Seterusnya masalah kebersihan, kesihatan awam serta ekonomi pelancongan setempat akan terganggu,” katanya.
Menurutnya, aktiviti pembersihan pantai secara sukarela diharap dapat memberikan kesedaran selain membentuk sikap bertanggungjawab semua pihak.
“Diharapkan program ini dapat diteruskan pada masa akan datang, dengan penyertaan agensi, badan bukan kerajaan, penduduk dan pelancong dalam usaha mengekalkan kebersihan serta menjaga ekosistem alam semula jadi,” katanya.
Beliau berkata, promosi menerusi pelbagai aktiviti boleh dilakukan agar keadaan pantai terpelihara dan selamat untuk dikunjungi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!