Kenaikan tarif air bukan domestik atas konsensus bersama
GOMBAK - Pelarasan tarif air di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya diputuskan hasil konsensus Kementerian Air dan Alam Sekitar (KASA) bersama kerajaan negeri dan syarikat pengendali air seluruh negara.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, negeri lain turut bersetuju dengan langkah itu demi kestabilan industri air susulan peningkatan kadar operasi selain tarif air telah berpuluh tahun tidak dinaikkan.
Menurutnya, kadar purata kenaikan sebanyak 20 sen setiap meter padu itu dikenakan kepada pengguna bukan domestik (komersial) dan tidak melibatkan pengguna domestik (unit kediaman).
"Banyak pihak seolah-olah salahkan kerajaan negeri termasuk bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang bertanya di mana program air percuma Selangor.
"Air percuma adalah bagi pengguna domestik dan kenaikan tarif air tidak menjejaskan pengguna domestik. Ia dikenakan kepada pengguna industri.
"Ini adalah persetujuan bersama antara KASA dengan menteri besar, exco dan syarikat pengendali di seluruh negara," katanya ketika ditemui pada Program Jelajah Selangor Penyayang Daerah Gombak pada Ahad.
Beliau berkata demikian mengulas pelaksanaan tarif bekalan air baharu melibatkan bukan domestik, rumah ibadah dan kapal berkuat kuasa 1 Ogos ini.
Menurut Amirudin, keputusan pelarasan tarif air itu telah dibuat pada tahun 2016.
"Apabila negeri lain bersetuju, takkan kita nak kata tidak. Ia berdasarkan persetujuan bersama selepas melihat kepada fakta dan dokumen berkaitan.
"Kenaikan ini akan melibatkan seluruh negara tetapi jika negeri-negeri lain ubah keputusan, maka kerajaan Selangor akan melihat semula perkara itu kerana ia melibatkan persetujuan bersama," katanya.
Najib menerusi kenyataan di Facebook pada Sabtu meminta pelarasan kadar tarif air itu ditangguhkan kerana berpandangan ia dilaksanakan pada masa yang tidak sesuai.
Beliau mempertikaikan kenaikan tarif air sebanyak 25 peratus hingga 27 peratus pada masa inflasi masih tinggi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!