Doa ibu bapa azimat buat Muhamad Aznil raih emas Sukan Komanwel

Muhamad Aznil Bidin menyumbang pingat emas kedua negara selepas memungut mata keseluruhan dengan melakukan angkatan bebanan keseluruhan 285kg. - Foto Bernama
Muhamad Aznil Bidin menyumbang pingat emas kedua negara selepas memungut mata keseluruhan dengan melakukan angkatan bebanan keseluruhan 285kg. - Foto Bernama
A
A
A

DORONGAN dan doa ibu bapa serta ahli keluarga menjadi azimat buat atlet angkat berat negara, Muhamad Aznil Bidin yang berjaya mempertahankan pingat emas di Sukan Komanwel Birmingham 2022 pada Sabtu.

Ibunya, Haslina Hamzah, 46, berkata, biarpun Muhamad Aznil yang mesra dipanggil Bang Ngah giat melakukan persediaan, namun dia sempat pulang ke rumah mereka di Kedah dan memohon restu serta doa daripadanya dan suami, Bidin Yaacob, 50, sebelum berangkat ke Birmingham.

Haslina yang tidak dapat menahan sebak ketika dihubungi berkata, atlet berusia 28 tahun itu pada masa sama tidak pernah lupa untuk menghubungi keluarga dalam apa jua situasi bagi bertanyakan khabar selain berkongsi perkembangan terbaharu.

Malah, ketika di Birmingham, Muhamad Aznil sering menghubungi ahli keluarga di Malaysia termasuk selepas mempertahankan pingat emas kategori 61 kilogram (kg) yang menjadi emas kedua kontinjen negara di temasya sukan berprestij itu, bagi berkongsi kegembiraannya.

Aksi atlet angkat berat negara Muhamad Aznil dalam acara angkat berat kategori 61kg pada Sukan Komanwel Birmingham 2022 di Dewan NEC 1 pada Sabtu. - Foto Bernama
Aksi atlet angkat berat negara Muhamad Aznil dalam acara angkat berat kategori 61kg pada Sukan Komanwel Birmingham 2022 di Dewan NEC 1 pada Sabtu. - Foto Bernama



"Dia sentiasa buat panggilan video, pergi berlatih, pergi bertanding, sebelum beraksi dan selepas menang pun dia tidak lupa untuk menghubungi saya dan suami.

Semasa dia balik ke rumah selepas Sukan SEA di Hanoi, Vietnam, dia memang minta restu dan doakan dia berjaya di Sukan Komanwel,” katanya.

Ibu kepada empat anak lelaki itu berkata, dia menyaksikan sendiri kejayaan anak keduanya itu secara langsung di televisyen bersama suami dan anak-anaknya di rumah.

Haslina memaklumkan Muhamad Aznil yang sudah berkecimpung dalam sukan angkat berat sejak berusia 13 tahun turut menyimpan impian untuk beraksi di temasya Sukan Olimpik Paris 2024.

Pada Sabtu, Muhamad Aznil memastikan Jalur Gemilang terus berkibar megah di Pusat Pameran Nasional (NEC), Birmingham apabila meraih emas selepas melakukan angkatan bebanan keseluruhan 285kg sekali gus mencatat rekod baharu temasya.

Selain beliau, rakan sepasukan Mohamad Aniq Kasdan yang menampilkan aksi bertenaga dalam kategori 55kg lelaki sebelum itu menyumbangkan emas pertama Malaysia dengan catatan bebanan keseluruhan 249kg. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!