'Isu kluster mahkamah, 1MDB sudah basi' - Tok Mat
KUALA LUMPUR - Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hasan menyifatkan isu kluster mahkamah dan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang dibawa oleh pembangkang sudah basi.
Beliau turut mengambil contoh semasa Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Melaka sebelum ini di mana rakyat di dua negeri berkenaan sudah tidak mempedulikan isu terbabit.
Katanya, ini disebabkan isu berkenaan sering digunakan oleh pembangkang terutamanya Pakatan Harapan (PH).
“Orang dekat Johor, Melaka tak peduli lagi dah 1MDB. Bahkan orang menderu berkerumun (bekas Perdana Menteri) Datuk Seri Najib Tun Razak.
“Orang dah tak kisah lagi, cerita dah basi dah. Cerita orang kata terlampau digunakan,” katanya semasa berucap pada penutupan Konvensyen Puteri Barisan Nasional (BN) di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) pada Ahad.
Mohamad yang lebih sinonim dipanggil Tok Mat menambah, PH sudah tidak ada apa-apa perkara yang mahu dijanjikan dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti.
“Dia nak janji apa lagi? Dah tak ada benda dia nak janji lagi,” katanya.
Menyentuh mengenai Perikatan Nasional (PN), Timbalan Presiden UMNO itu mendakwa, gabungan itu semasa menjadi kerajaan telah mengurung rakyat dalam tempoh jangka masa yang paling lama di dunia.
“Buat darurat bukan kerana Covid-19 tetapi takut kerana hilang kuasa,” katanya.
Beliau dalam masa sama turut melahirkan keyakinan PRU15 nanti BN dan UMNO akan merampas semula kerajaan.
“Kenapa? semua indikator-indikatornya bersama dengan kita. Takkan kita tak boleh baca. Tujuh Pilihan Raya Kecil (PRK) kita menang.
“(Bagi PRN) Menang di Sabah, menang di Melaka, menang di Sarawak walaupun kita tak bertanding tapi dia bersama dengan kita dan menang di Johor.
“Apa tandanya? Tandanya rakyat Malaysia nak BN bangun dan bangkit mengambil alih kerajaan semula,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!